Jul 29, 2008

KIRI DAN KANAN ISLAM



Maka sekiranya pendapat dan pandangan aku ini salah tolong betulkan, tetapi andai kita setuju nah apa kata kita mulakan hari ini dengan Asmaul Husna (nama-nama yang Terbaik), mulakan dengan menghafalnya nanti sama-sama kita fahami dan satu hari nanti sama-sama kita cintai Allah. Wujudkan rasa cinta pada Allah, kita cari persamaan dalam perbezaan, kita bangkitkan seruan perdamaian dan toleransi, dan kita laungkan kebangkitan Islam melalui pendidikan, kerana pendidikan hak milik kita bersama.


Demi generasi mendatang fikirkan untuk berdamai, fikirkan untuk bertoleransi, fikirkan untuk memiliki kesejahteraan. Melayu pernah tinggi martabatnya kerana Islam dan Islam pernah dibanggakan oleh bangsa Melayu, nah manusia yang berjiwa melayu harus cari persamaan dalam islam dan manusia yang berjiwa islam harus meneliti persamaan dalam melayu. Yang penting kita semua mengakui tentang kebenaran ajaran Illahi.

Jul 24, 2008

CINTA

Bukanlah aku maksudkan untuk menjadi ekstrimis Islam tetapi mahu menyatakan bahwa Islam hari ini semakin jauh dari landasan yang sebenarnya. Maka perlu kiranya kita kembali mengenali Islam. Jangan terus menerus memomokkan masyarakat tentang hukum, dosa, neraka, akan tetapi menjelaskan tentang keistimewaan dan kepentingan Islam. Kerana bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’.


Lupakan segala benteng kefahaman atau prinsip yang kolot dan terus menuju mencari persamaan dalam setiap penganutnya. Atau kita masih merasakan cukup sekadar kita melaksanakan rukun Islam dan persetankan orang lain?. Fikirkan apa akan jadi pada generasi akan datang andai kita masih lagi sibuk mengejar pahala untuk diri sendiri lalu lupa bahwa Islam untuk merahmatkan sekalian alam. Tetapi kalau masih beraggapan sekadar cukup ibadahnya untuk diri sendiri, nah terpulang.


Tapi yang aku maksudkan di sini, bagi yang punya jiwa besar yang ingin melihat kebangkitan Islam, kebangkitan ilmu Islam, kebangkitan keagungan Islam, nah maka harus difahami untuk kearah itu harus kita mulai dari diri kita mengenali Islam.

Jul 20, 2008

ISLAM DALAM KENANGAN



Bila difikirkan secara rasional kegagalan Islam kini adalah kerana kurangnya keupayaan umat Islam menghayati ajaran Illahi ini mengikut tuntutanNya yang sebenarnya, dalam erti kata mudah “sudah tiada lagi Islam”.


Mungkin ramai yang akan marah dan tidak bersetuju dengan pendapat ini, tapi apalah gunanya mengaku Islam andai asyik menunding jari mencari kesalahan orang lain?, apa gunanya Islam andai asyik melihat dirinya lebih bagus dari orang lain?, apa gunanya Islam jika tidak dapat bersatu?, apa gunanya Islam kira hidup dalam ketakutan?, apa gunanya Islam kalau Al-quran yang layak menjadi pedoman dan petunjuk manusia diabaikan?


Kenapa hingga kini kita cuma diminta berlakon menjadi orang Islam tapi tidak punya ruang untuk membuktikan kelebihan Islam malah paling hina bila lansung tidak punya wadah untuk membicarakan tentang kebenaran Islam.

Jul 18, 2008

DRAMA ISLAM

Aku cuba melihat Islam luar dari kaca mata penganutnya, walaupun aku jua seorang muslim dan punya pendidikan serta pengetahuan Islam yang kuat, seandainya aku tidak dilahirkan dalam keluarga Islam atau punya kefahaman tentang Islam, mungkin aku berprinsip bahawa Islam tidak ubah seperti ajaran-ajaran atau agama-agama yang lain.



Pada konsep dan dasarnya semua agama atau anutan mengajak manusia kearah kedamaian, kesejahteraan dan hidup dalam keadaan harmoni dengan meninggalkan perbuatan yang buruk dan tidak berperikemanusiaan serta meletakkan dasar-dasar kehidupan manusia yang terkait dengan alam serta kejadian.


Tertarik dengan pengakuan sahabatku Islam kini cuma “dogma”, ia mungkin, kerana jika ditanya kepada semua penganutnya tentang Islam ramai yang tidak tahu. Maka ianya amat sesuai diguna pakai kerana ramai yang mengikuti Islam hanya kerana ‘terkeluargakan’ Islam justeru ‘terikut’ menjadi Islam. Budaya Islam, pakaiannya Islam, bahasanya Islam (Arab Quraish), atau punya kepentingan terhadap Islam yang mana kerna Islam perutnya terisi. Islam, oh Islam, terasa semakin kelam.