Sep 30, 2008

JENIN MAT JENIN

Al kisah tersebutlah cerita disebuah kampong tinggal seorang yatim bernama Mat Jenin, hingga hari ini tidaklah sesiapa tahu asal usul dan nama sebenarnya. Dipendekkan cerita sebab semua orang dah tahu, Mat Jenin kerja sebagai tukang panjat pokok kelapa, ala ala beruk. Ketika sedang memanjat, bosan agaknya, Mat Jenin berangan bahwa upah yang diusahakan akan dikumpulkannya lalu dia akan membeli sebiji telor ayam, maka akan dijaga telor ayam sampai menetaskan ayam.



Al kisah setelah ayamnya membesar dan boleh melaksanakan ‘hajat’ dan beranak pinak maka Mat Jenin akan mempunyai ayam yang banyak lalu dijual habis ayamnya untuk membeli seekor kambing lalu bermula pula episod menternak kambing. Kambingnya pun begitu subur hingga yang seekor menjadi berekor-ekor, maka setelah banyak kambingnya pun habis dijual.


Al kisah dibeli pula seekor lembu dari hasil duit kambingnya, maka bermula pula kisah mengembala lembu. Dek kerana pandai dijaga, lembunya melahirkan zuriat yang banyak. Maka bermulalah sejak detik itu Mat Jenin menjadi orang kaya baru. Nah, mulalah orang ramai mengenalinya, rumah besar bak istana, hamba ramai bak raja, isteri yang cantik bak primadona.


Al kisah Mat Jenin mahu memeluk isterinya hingga lupa dirinya sedang berangan dan masih diatas pokok kelapa lalu jatuhlah dia dan mati sebelum dapat menikmati upahnya. Innalillahhiwainnailaihirojiun…



Al kisah yang positifnya cerita ini Mat Jenin punya perancangan yang teliti, bagus dan punya matlamat yang jelas. Al kisah yang negatifnya kalau nak merancang sebelum buat kerja, jangan pula tengah buat kerja baru nak merancang. Pandai jugak nenek moyang kita sampaikan mesej P.O.L.C.

Al kisah kata Al Quran, Al Hasyr :18-

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.


Al kisah maka rancanglah segala-galanya setelah kita yakin dengan sesuatu, penting merancang, jika tidak merancang kita merancang untuk gagal. Rancang generasi akan datang, rancang masa hadapan, rancang kewangan, rancang pendidikan, rancang untuk menzahirkan sistem yang hak. Jika sudah punya perancangan maka ikutlah dengan perbuatan bukan dengan membebel.

Sep 29, 2008

SERANG SORANG-SORANG

Kawan-kawan aku sekarang sibuk menanam pokok, hobi baru, maka banyaklah pokok yang ditanam termasuk dalam pasu. Hari demi hari disiram, dijaga, ditata dengan cermat. Namun ada diantaranya yang mati. Mungkin ilmu pokok masih tak cukup. Namun aku cuba untuk memahami kenapa dan mengapa ada yang mati? Aku tidak mengalihkan pokok yang mati dan terus menyiramnya mengharapkan tumbuh pokok yang baru, namun itu perkara mustahil kerana tiada benih dalam tanahnya.



Ada diantara pokok yang ditanam menggunakan tanah yang tidak sesuai dan apabila kerap disiram air maka tanah bertukar menjadi tanah liat, ada yang kurang mendapat cahaya matahari dan ada yang kurang air.


Bukan pokok yang penting akan tetapi memahami falsafah yang hendak disampaikan melaluinya. Mendidik dan menyampaikan Al-Quran juga seperti menanam pokok, tanpa dasar yang kukuh bagi ilmu(air) setiap hari pun takkan menyuburkannya. Adakala mendidik jangan terlalu banyak dicurahkan ilmunya, bak kata Allah, Al Qiyaamah :16.

Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran karena hendak cepat-cepat (menguasai)nya

Biar ilmu yang disalurkan sesuai dengan keadaan penerima, terlebih ilmu kalau dapat difahami tidak mengapa, takut tak faham nanti biol! Kena selalu ‘follow-up’ selalu menunjukkan cara yang betul dalam melaksanakan apa yang diperintahkan, beri cahaya jangan disembunyikan, namun adakalanya jangan terlalu menunjukkan aspek praktikal sahaja, terlebih panas juga boleh mati. Kerja ada rehat.


Kalau dah tidak ada iman(benih) dah tak payahlah menyusahkan diri untuk siram memang takkan tumbuh, kerana yang menciptakan benih iman hanya Allah, tidak ada daya upaya kita melainkan Allah. Mari sama-sama kita tanam pokok. .......... :-)

Sep 28, 2008

SERONOK BUAT SALAH, hai Melayu... hai ISLAM...




Kita akan seronok mendengar kata-kata pujian namun apabila ada yang menegur tentang kesalahan yang kita lakukan sering kali kita akan mula memberontak. Kita amat suka mencari kesalahan orang lain hingga lupa bahwa kita juga punya kelemahan dan sering melakukan kesalahan.

Walaupun perit, menyampah, benci dan sewaktu dengannya aku akan cuba mencari kesalahan, kekurangan dan kelemahan diri aku. Banyak cara yang aku gunakan diantaranya jadi diri kita, jangan ‘hypocrite’, sering mendapatkan respon dari orang lain dan gunakan orang tengah untuk mendapatkan respon mengenai diri aku pada pandangan orang lain.


Adakala ‘signal’ yang diberikan dengan memek muka dan perbuatan(body language) tanpa sebarang lisan. Maka kita akan memahami bahwa perkara yang kita lakukan tidak disukainya. Aku diantara yang tidak suka dipuji(mengikut situasi) dan menganggap pujian seseorang bukan hadir kerana keikhlasan tetapi menempelkan kata berbentuk satira.


Jangan sekali-kali kita men ‘divert’ kan, kesalahan kita pada orang lain, dengan tujuan untuk menyelamatkan diri, sampai bila pun kita tidak akan belajar. “Berani buat berani tanggung”. Adakalanya kesalahan yang kita buat tanpa kita sedari dan ini yang sering menakutkan aku. Takut-takut risikonya besar dan melibatkan jangkamasa yang panjang. Maka bagi mengelakkan melakukan ‘kesalahan-kesalahan bodoh’ setiap yang kita lakukan haruslah dirancang dengan teliti dan mengambil kira setiap aspek. Jangan berbuat tanpa ilmu.

Sep 27, 2008

DAPATKAH AKU CINTANYA???

Apa rasanya tiba-tiba orang yang kita kenal berpuluh tahun rupa-rupanya tidak seperti yang kita jangkakan? Selama ini orangnya bagus dan teramat mulia. Namun akhirnya terbongkar segala rahsia yang dia pandai berlakon dan hatinya teramat busuk lebih busuk dari yang paling busuk. Mungkin kita akan mula menjauhkan diri? Atau memaafkannya dan mengharapkan perubahan pada dirinya?



Namun apa rasanya pula jika Islam yang kita kenali bertahun-tahun rupa-rupanya tidak seperti yang kita jangkakan? Kita dihebohkan bahwa Islam itu indah, selamat, sejahtera, namun jauh panggang dari api. Kita dihidangkan bahwa cukup dengan melaksanakan solat, puasa, zakat, haji pastikan masuk syurga. Walhal apa yang kita lakukan bukan itu tuntutan utamanya. Adakah kita menjauhkan diri dari kebenaran? Atau memaafkan dan mengharapkan agar ia boleh diubah? Apa yang mungkin kita lakukan jika hanya kita yang boleh mengubahnya?


Kecewa? Bahwa kita masih terlalu jauh untuk mencintaiNya? Malah untuk mengaku hambaNya seakan tidak layak? Kecewa? Segala amalan kita yang kita anggap beharga rupanya sia-sia kerana kita sendiri mensyiriqkan dengan aturan selain aturanNya, pada hal hari-hari kita mengakui bahwa Dialah Pengatur semesta alam. Kecewa? Ditipu hidup-hidup, bodoh mengikut telunjuk orang lain tanpa kita sendiri memahami risalah Allah. BANGKITLAH LALU BERI PERINGATAN!!!

Sep 26, 2008

EDD

Keimanan sesuatu yang abstrak yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun akan tetapi keimanan dapat diukur dari hasil yang kita kerjakan(takwa). Dalam melaksanakan perintah Allah, iman atau yakin teramat penting, ini kerana tanpa keyakinan kita tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.



Iman tidak dapat diagihkan atau dikongsi bersama kerana yang memilih untuk beriman atau tidak adalah diri kita sendiri. Kita boleh menyatakan dengan lisan bahwa kita telah beriman, sesiapa pun boleh menyatakan keimanan. Aku pernah menyampaikan tentang Islam dan Iman pada seorang penganut Buddha yang mahu mendalami Islam.


Secara mudahnya manusia sebegini tidak tahu lansung mengenai Islam dan menilai Islam melalui orang Islam(Melayu) itu sendiri. Dia mahu meyakinkan dirinya bahwa Islam merupakan jalan penyelesaian yang terbaik, namun terkilan melihat tingkah umat Islam(Melayu) sekarang. Maka aku ungkapkan cerita Muhammad, sejarah para Rasul dan keagungan sebenar Islam.


Oleh kerana tidak mempunyai masa yang cukup dan keterbatasan geografi maka hingga kini dia masih menganut ajaran Buddha namun yakin bahwa Islam agama yang terbaik. Pesan terakhir aku padanya Benarkan diri kita untuk mengenali diri kita dahulu jangan prejudis dan kiranya bersungguh mahu mengenali Islam kenali dahulu sejauh mana pemurahnya Allah, kenali nama-nama Allah. Kerna ada adigium menyatakan bahwa: Permulaan Islam dengan mengenali Allah”.


Buat Edd(nama panggilannya), aku mengharapkan agar kau temui keindahan nama-nama Allah, dan nanti kau akan ketemui keindahan Al-Quran.

Sep 25, 2008

Jika Surga Dan Neraka Tak Pernah Ada- Chrisye Ft Dhani Ahmad





An Nisaa':77-

Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka: "Tahanlah tanganmu (dari berperang), dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat!" Setelah diwajibkan kepada mereka berperang, tiba-tiba sebahagian dari mereka (golongan munafik) takut kepada manusia (musuh), seperti takutnya kepada Allah, bahkan lebih sangat dari itu takutnya.


Mereka berkata: "Ya Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan berperang kepada kami? Mengapa tidak Engkau tangguhkan (kewajiban berperang) kepada kami sampai kepada beberapa waktu lagi?" Katakanlah: "Kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dianiaya sedikitpun".

Sep 24, 2008

RENUNGKAN –sbg

Kita harus mentaati organisasi, hingga sanggup membela pimpinan kerna tanpa mereka tiada kita. Mereka di ibaratkan sebagai tulang belakang kepada organisasi, tanpa mereka kita akan lumpuh. Bagaimana cara untuk membela pimpinan? Bela diri kita sendiri.

Jujur dalam segalanya, ‘transparent’ dan tidak berdusta. Kerana berdusta sesuatu yang menyakitkan dan satu penyakit, bak kata orang dahulu; “siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri”. Bukti kejujuran kita adalah perbuatan hermah kita. Pandai mengatur kewangan, bijak mengatur waktu dan arif mencatur masa. Bukan sebagai seorang yang suka membazir.


Bijaksana dalam mengurus, bijak membaca peranan setiap individu dalam segala aspek dan bijak menentukan keputusan. Namun jangan belagak bijak walhal kita bodoh. Belajar dan rajinkan bertanya serta dapatkan pandangan dari orang yang lebih berpengalaman.


Cintai dan bela sesama kita, kenali kemudian jiwai maka bila terbit keserasian dan rasa percaya barulah wujud rasa cinta. Jangan menyakiti dan terlalu memaksa. Tegur dengan cara yang sepatutnya, adakala perlu berlembut dan adakalanya perlu bertegas.


Sesekali jangan kita pantang menyerah, beerti jadikan kesabaran sebagai darah daging kita, bentuk diri kita tentang apa yang kita yakin dan prisipkan matlamat keyakinan kita, mungkin kita akan tewas namun jangan sekali-kali menyerah. Jangan gadai maruah dan prinsip kita, biar dicaci, dibenci namun prinsip kita harus kukuh dalam jiwa.

Sep 23, 2008

RENUNGKAN

Menjadi seorang pemimpin harus berfikiran dan bertindak secara rasional. Pimpin manusia kerana Allah bukan kerana peribadi kita, itu yang lebih mudah dan cara yang lebih bijaksana.

Dalam menjalankan tugas seharian aku sering berhadapan dengan karenah pemimpin dan karenah orang yang aku bimbing. Maka aku rangkumkan sedikit pendapat aku, mungkin benar atau mungkin salah. Untuk menjadi pemimpin kita harus berdisiplin, berani, membela pimpinan, jujur dan hermah, bijaksana, mencintai dan membela yang dipimpin, dan pantang menyerah.


Disiplinkan diri kita, disiplinkan masa kita dan disiplinkan tugas kita, kerana kita adalah diri kita dan yang dipimpin merupakan cerminan kita. Rosak yang kita bimbing beerti kita seorang yang rosak, bagus yang kita pimpin beerti kita seorang yang berjaya. Disiplin akan memudahkan segala urusan, melicinkan perjalanan dan kita akan tetap fokus pada matlamat.


Berani menyatakan kebenaran walaupun perit, berani menegur walaupun sakit dan berani melakukannnya dahulu sebelum menyuruh orang lain. Namun jangan berani membuta tuli nanti kita yang rugi. Berani mengakui kesalahan dan mahu belajar dan berani membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh orang lain.

Sep 22, 2008

PESAN


Arwah mama aku pernah berpesan; “Kita diciptakan tanpa sia-sia”. Lalu aku bertanya; “Kalau begitu untuk apa sebenarnya kita dicipta?”. “Mengapa ada manusia lahirnya dalam keadaan senang dan ada yang susah?”. “Untuk mencipta sejarah” jawab mama ringkas.


Sudah hampir 2 tahun mama meninggalkan aku dan aku mula mengerti bahwa peluang kita di dunia cuma sementara, kita ketawa cuma sementara, menangis sementara, kenyang, sakit, perit. Yang kekal sejarah, sejarah kita, bagaimana kita dengan manusia, dengan alam, dengan generasi mendatang.


Sememangnya kita bukan diciptakan sia-sia, kerana setiap detik langkah kita akan meninggalkan kesan, meninggalkan sejarah, setiap tutur kata kita akan meninggalkan kesan, meninggalkan sejarah. Bumi hari ini wujud kerana kesan penghuninya dahulu, dan bumi akan datang akan terus wujud dari sejarah, kesan peninggalan kita.


Kita senang kerana kesan sejarah nenek moyang kita dan kita susah kerana tinggalan nenek moyang kita. Begitu juga anak-anak akan datang, susah senangnya bergantung pada sejarah yang akan kita tinggalkan. Andai kita tinggalkan tanah, tanah boleh tergadai, tinggalkan harta, dek harta manusia boleh alpa, maka tinggalkan generasi mendatang dengan pendidikan, yang terdidik, bagus jasadnya, bagus mindanya.

Sep 19, 2008

LETIH BERFIKIR TAK LETIH BERBUAT(2)

Adakalanya kita cuba lari dari masalah, walaupun ia melibatkan ramai pihak namun apabila kita tidak mampu lagi menahan tekanan yang diberikan maka ramai yang akan mula menyalahkan orang lain dan melepaskan segala kebuntuan dengan lari dari masalah.


Sejauh mana kita boleh lari, dunia ini bulat. Sampai bila kita hendak menyorokkan diri. Banyak dari masalah berpunca dari kegagalan komunikasi dan hilangnya rasa percaya diri. Tak perlu kita sembunyikan kiranya kita sakit hati, kongsikan dan ajar diri untuk mengatakan perkara yang sebenarnya serta jujur dalam mengambil keputusan.


Adakalanya kita rasa kita sudah betul, dan tidak mahu dengar penjelasan orang lain. Dengar dahulu, jangan menghukum sebelum pasti perkara yang sebenar. Bagi para penegak Deen Allah, hadapi masalah dengan Al-Quran. Pernah Aisyah berkata bahwa peribadi Nabi Muhammad adalah Al-Quran, maka kita cerminkan diri kita dengan Al-Quran. Ikuti cara para rasul menangani masalah. Dan cara yang paling berkesan dan maha hebat dalam menghadapi segala cabaran ialah SABAR.


Malah kalau diteliti di dalam Asmaul husna, As-Sobur merupakan nama Allah yang paling terakhir, mungkin ada sesuatu yang hendak disampaikan, bahwa kesabaran itu yang paling tinggi dalam melaksanakan segala kerja terutamanya dalam menzahirkan sistem yang hak. Sabar dengan karenah masayarakat, sabar dengan gelagat yang tidak memahami perjuangan, sabar dengan kehendak sunnah dan yang paling penting sabar dalam menangani hawa nafsu sendiri.


Sahabat-sahabatku sabarlah dan kuatkan kesabaran moga Allah perkenan dan pandaikan kita dalam menjalankan tugas suci.

Sep 17, 2008

SALAM DUNIA

Suara tangis yang kau dengar
Memecah hari kudus ini
Adalah aku mengenang Pemilikmu


Kita pohon kemenangan
Meroboh kota keakuan
Ini saatnya yang kunanti-nanti


Mereka yang dilanda derita
Redhalah harimukan tiba cahaya
Kekasih yang benar menghapus segala
Api kemarahan


SALAM DUNIA, SALAM SEMUA,
SALAM HARI RAYA, BERSINAR AKHIRNYA
SALAM DUNIA, SALAM SEMUA,
SALAM HARI RAYA, BERSINAR AKHIRNYA


INILAH HARI KITA TIADA LAGI RASA KETAKUTAN



Sep 16, 2008

MEMBURU CINTA YANG MAHA PEMURAH




Ya Allah Kau yang
Maha Pemurah

Kerna Kau jua yang mengajarkan aku Al-Quran,

Kerna
Kau jua yang menciptakanku,

Kerna Kau jua yang memandaikanku,




Matahari dan bulan
turuti kemahuan hitunganMu,

Tumbuhan dan pohon setia
tunduk padaMu,

Ya Allah, ya Tuhanku, langit Kau tinggikan, keadilan Kau perintahkan,

Akan ku turuti neraca
keadilanMu tanpa pernah melebihinya,

Akan ku dokong neraca keadilanMu tanpa pernah menguranginya,




Ya Allah,
Kau jadikan bumi ini untuk kami hambaMu,

Penuh buah dan kurma dengan lenggok
mayangnya,

Penuh biji-bijian dan bunga dengan harum baunya,


Takkan pernah aku dustakan nikmatMu, ya Tuhanku,




Kau yang meciptakan manusia dari
tanah kering yang dibentuk rupa,

Kau yang menciptakan jin dari api yang menyala,


Takkan pernah aku dustakan nikmatMu, ya Tuhanku,




Kau yang
menerbitkan matahari dan Kau jua yang membenamkannya,

Takkan pernah aku dustakan nikmatMu, ya Tuhanku,




Ya Tuhanku, dari
dua lautan yang mengalir kau temukan,

Waima keduanya punya batas kau tentukan,
tanpa pernah diingkari,

Maka selama-lamaya takkan aku dustakan nikmatMu, ya Tuhanku,


-nukilan rasa dari Surah Ar-Rahman : 1-20

Sep 15, 2008

MENGARUT ADA MAKNA

Kisah ini berlaku semasa jam dan kalendar masih tak wujud lagi maka aku tak tahu bila ia terjadi. Tersebutlah kisah pada suatu hari seorang pemuda yang namanya Semail pergi ke muara sungai mencari ikan. Dalam perjalanannya dia bertemu dengan seorang budak kecil yang sedang bermain, maka terfikirlah di benaknya, “Untungnya jadi budak-budak tak payah nak sara keluarga, tak fikir tentang masalah dunia, tak payah nak jaga hati orang lain, buat salah pun orang tak marah”.


Semail meneruskan perjalanannya, dia bersiul-siul kegirangan sambil memikirkan betapa seronoknya sekiranya dia menjadi kanak-kanak sepanjang hayat. Ketika melintasi sebatang pokok, dia ternampak seorang bangsawan diiringi pengawal-pangawalnya sedang berburu, maka dia pun tunduk berjalan sambil di kepalanya terfikir, “Kenapa aku tidak dilahirkan dalam keluarga bangsawan, kaya-raya, punya hamba, tak perlu susah-susah bekerja, bila balik makanan sudah tersedia”, rintih hati Semail. Perlahan-lahan dia menyalahkan kedua orang tuanya kerana bukan dari golongan berada.



Langkahnya diatur kembali kemuara, sambil berangan menjadi orang kaya. Sesampainya di muara, dia terlihat sebuah kapal besar dan di dalamnya ada seorang nakhoda yang sedang memerintah awak-awaknya berlayar. Maka terfikirlah pula Semail, “Untungnya jadi nakhoda punya pekerja yang boleh diperintah sesukanya, alangkah bagus kiranya aku seorang nakhoda, tentu jauh aku mengembara, tentu ramai wanita yang terpesona”. Semail perlahan-lahan turun kemuara sambil bingung memikirkan mana yang lebih bahagia, sama ada menjadi kanak-kanak sepanjang hayatnya, atau menjadi bangsawan punya harta, atau lebih bagus menjadi nakhoda punya kuasa.


Cerita ini pastinya tak pernah berlaku kerana aku yang reka, bukan nak mengarut sebarangan tetapi, sering memikirkan bangsa Melayu Islam ini ramainya begini, hidup nak mudah, sering kali salahkan orang lain bila keinginan tidak tercapai, kuat berangan tapi kerja tak jalan-jalan, punya impian yang setinggi langit tapi usaha macam siput khinzir. Cerita nak bangunkan sistem Islam, nak tegakkan ad-deen yang hak, tapi cuma angan-angan, lihat para Rasul pernah laksanakan maka dia pun rasa boleh buat macam para rasulullah, tapi tak punya keazaman.


Kita punya matlamat yang jelas, maka bak kata pepatah, P.O.L.C (planning, organize, leading, control). Harus jelas matlamat kita kemudian kita rancang, dan perlahan-lahan kita strukturkan, kita gerakkan dengan sumber yang ada dan kawal segalanya dengan bijak dan teratur. Kalau gagal kita mulakan lagi dengan merancang. Mungkin ada definasi yang lebih tepat tapi ini yang mudah untuk aku jelaskan.

Sep 14, 2008

BERANI UNTUK GAGAL (MELAYU ISLAM BERANI ATAU GAGAL?)

“Apabila matinya anak adam, maka terputuslah segala pahala amalannya kecuali tiga perkara, pertama sedekah jariahnya, kedua ilmu yang dimanfaatkannya dan ketiga doa anak yang soleh”,
aku masih ingat kata-kata ustazah sewaktu dibangku sekolah dahulu.



Kesimpulannya manusia diberi peluang dan ruang untuk beribadah kepada Allah semasa hayatnya sahaja, dan apabila kita mati maka habis terputuslah segala amalan. Aku mahu kita buka minda dan fikirkan sejenak, tentang Al-Quran. Terutamanya bangsa Melayu yang lahir-lahirnya terus berugama Islam, yang rata-ratanya lansung tidak tahu berbahasa Arab. Apa yang mereka baca? Maka ramailah orang kita yang ikut-ikutan tanpa ilmu tanpa memahami apa yang diperintahkan sebenarnya di dalam Al-Quran.

Al-Faathir:22- dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang didalam kubur dapat mendengar.

Beerti Al-Quran ini untuk manusia gunakan semasa hayatnya di dunia bukan dibacakan untuk orang yang telah mati (yang biasa masyarakat kita lakukan sewaktu malam jumaat dan ketika menziarahi kubur, aku tak kata salah tapi fikirkan). Kita yang masih hidup sekarang ini harus menguasai Al-Quran dan dijadikan sebagai rujukan yang utama. Sudah wujud terjemahan di dalam pelbagai bahasa, nah, lebih bagus sekiranya menguasai bahasa Arab kerana bahasa ini bahasa yang lebih tepat.


Kegagalan manusia menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk kehidupan manusia di muka bumi mengakibatkan berlakunya perlanggaran sosial, kemusnahan alam, kemunculan budaya yang pelik dan sia-sia, dan pemikiran kehaiwanan. Bayangkan jika tidak dibendung dari sekarang, apa akan jadi dengan generasi masa hadapan?

Sep 13, 2008

MULAKAN DENGAN NAFAS PENDIDIKAN

Selalu kita dengar, bahwa dengan pendidikan sahaja dapat mengubah sesuatu kaum ke arah yang lebih ideal dan maju. Pendidikan dapat mengeluarkan manusia dari lembah kemiskinan, pendidikan dapat mengangkat martabat bangsa kita. Malah dengan pendidikan bangsa akan lebih sejahtera. Malaysia sudah 51 tahun merdeka, dan dunia sudah mengenalinya malah ada di kalangan negara Islam yang lain mengagumi kemajuan yang dicapai. Maka ramailah yang kembang hidung.


Hakikat yang tidak boleh disangkal, pendidikan yang dilaksanakan di Malaysia masih belum dapat membangunkan jiwa dan raga bangsa ini, masih ramai anak-anak kita yang menganggur, yang terlibat dalam kancah jenayah, dan tak kurang juga punya kerjaya yang hebat dan akhlak yang hebat rosaknya. Zina macam makan bertih, rasuah termasuk dalam syarat untuk berjaya, dadah, rokok dan yang paling teruk bila sudah hilang rasa percaya pada Tuhan.



Banyak yang kerajaan kita cuba lakukan, dan jangan sekali-kali salahkan kerajaan. Kita cuba pandang apa sumbangan kita untuk generasi mendatang. Kita selaku Melayu yang berugama Islam harus sedar dan bangkitkan budaya Pendidikan berteraskan Al-Quran. Bina generasi mendatang dengan ilmu dunia tapi dalam dadanya Al-Quran. Manusia yang dibentuk jati dirinya dengan Al-Quran akan menjadi manusia yang teramat bagus pemikiran dan jasadnya. Inilah yang akan menjadi pemimpin di masa akan datang, pemimpin yang membudi dayakan pendidikan.


Seakan-akan tak tercapai dengan perkataan sahaja, kerana aku hanya menulis di sini dan melaksanakan di luar. Tak mungkin hanya dengan membaca tulisan ini manusia akan faham, akan tetapi sedikit sumbangan yang boleh aku sampaikan, doakan agar hadir sedikit kesedaran pentingnya pendidikan jangan kita tinggalkan generasi akan datang dalam keadaan yang lemah.

Sep 12, 2008

KENALKAH SEJAHTERA? -sbg

Kerana dalam menjaga hubungan ini kita akan dipandaikan untuk menatanya dengan lebih baik agar hubungan ini terus berkekalan. Proses ini perlukan kesabaran yang tinggi, dan rasa percaya yang tinggi, kerana kita sedang berhadapan dengan hubungan yang begitu kompleks, yang pelbagai bentuk, budaya, bahasa, kepercayaan dan aturan hidup.


Dan ini seringkali menyebabkan berlakunya perbezaan, hingga tahap yang getir mengakibatkan peperangan sama ada mental atau fizikal. Yang hancur dan musnah adalah manusia dan alam. Membina perlukan masa akan tetapi meruntuhkan sekelip mata.


Kerana itu impian kita malah pernah menjadi impian setiap rasulullah iaitu untuk MERAHMATKAN SEKALIAN ALAM. Kita cari persamaan walaupun sering berhadapan dengan perbezaan. Wajib wujudkan ikatan ini, manusia yang hidup di alam semesta ini harus terikat dengan peraturan Penciptanya kerana Dialah Yang Maha Mengetahui, ini juga boleh kita namakan sebagai akidah (ikatan).


Maka untuk mengetahui bagaimana agar saling terikat, manusia wajib memahami risalah yang telah disampaikanNya melalui rasulNya iaitu Al-Quran. Risalah ini telah diadaptasikan oleh generasi terdahulu yang akhirnya membuahkan hasil yang cukup lumayan, ilmu keluar dengan mencurah-curah, tamadunnya begitu tinggi dan manusia hidup dalam kesejahteraan. Wahai sahabat-sahabatku yang budiman, angkat bangsamu dengan pendidikan, julang bangsamu dengan pendidikan, tundukkan manusia pada Pengaturnya yang menciptakan. Kembalikan manusia pada fitrahnya, nah baru nanti kita rayakan aidulfitri. Salam Aidul Fitri.

Sep 11, 2008

KENALKAH SEJAHTERA?


‘Independence’ boleh didefinasikan sebagai bebas merdeka, punya hak memerintah sendiri, punya kawasan autonomi sendiri, punya kebebasan berbuat apa yang direncanakan mengikut kelompoknya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak atau aturan yang lain.


Beerti bebas melaksanakan hukum, cara, aturan dan kemahuan tanpa kawalan, keizinan atau mandat dari mana-mana pihak. Nah, mungkin ada definasi yang lebih tepat, akan tetapi kita boleh memahami bahwa bangsa yang ‘Independence’ adalah bangsa yang bebas berdiri dengan kekuatannya sendiri.

Semua bangsa mahukan kemerdekaan, tidak dijajah atau dicatur oleh pihak lain, walhal manusia sebenar-benarnya, sekali-kali tidak boleh merdeka. Manusia yang merdeka akan bebas menggunakan akal fikirannya, bebas bersangka-sangka untuk melakukan kerja atau memutuskan sebarang keputusan, dan kebiasaannya akan mendatangkan kesan yang negatif kepada manusia dan alam itu sendiri.


Manusia seharusnya mengamalkan budaya yang lebih ‘advance’ dari merdeka yang dikenali sebagai ‘Interdependency’ atau saling terkait di antara satu sama lain atau kata lainnya ‘Daulah’.
Manusia sejak azalinya berada dalam keadaaan jahil, tiada ilmu pengetahuan, maka manusia perlukan satu cara atau langkah yang betul bagi menjalani kehidupan di muka bumi dengan lebih sempurna tanpa memutuskan hubungan di antara sesama manusia dan di antara manusia dengan alam, termasuklah tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kerana kita amat memerlukan di antara satu sama lain.


Hubungan ini yang kita namakan sebagai ‘interdependency’. Semakin panjang keterkaitannya, maka manusia akan lebih memahami dan punya pengetahuan yang lebih tinggi.-sbg.

Sep 10, 2008

SEMAKiN LAMA SEMAKiN TUA SEMAKiN.........

Manusia dalam meniti kehidupannya adalah pembuat sejarah, walaupun tidak boleh dilakukan sesuka hatinya, manusia akan mencipta sejarah berdasarkan keadaan yang lansung mereka hadapi, mereka terima sebagai lanjutan dari masa lalu. Apa sahaja aktiviti dan pemikiran manusia kelak akan menjadi sejarah. Manakala aktiviti yang kemudian menjadi suatu yang bersejarah bukanlah dihasilkan sekali jadi oleh pelakunya, tetapi secara terus menerus mereka ciptakan berulang melalui suatu cara, dengan cara itu juga mereka menyatakan dan dinyatakan sebagai pelaku sejarah.



Kita sememangnya akan mati dan meninggalkan alam ini, tanyakan pada diri kita sejarah yang bagaimana yang mahu kita tinggalkan? Menjadi kebanggaan generasi mendatang atau dicaci-maki kerana kita tinggalkan mereka dengan kehancuran? hidup ini terlalu singkat maka jangan sia-siakan.


Demi masa sahabatku.......
Kita sungguh-sungguh berada dalam kerugian........
Kecuali kita menjadi orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh serta nasihat-menasihati supaya seluruh manusia mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati agar seluruh manusia supaya menetapi kesabaran.

Sep 9, 2008

AYAH & ANAK & KELDAI, atau?


ﺭﺿﻰﺍﻠﻧﺎﺲﻏﺎﻴﺔﻻﺗﺪﺭﻙ
Kerelaan semua manusia sesuatu yang tidak mungkin digapai


ﻤﺎﻴﺪﺭﻙﻜﻠﻪﻻﻴﺗﺭﻙﻜﻠﻪ
Kerjakan sesuatu yang baik itu sekali pun tidak mendapatkan persetujuan dari segala lapisan manusia


Pernah diceritakan, seorang bapa dan anak sedang menempuh perjalanan dengan menunggang keldai. Mereka menunggang dengan gembira sehinggalah semasa memasuki keramaian kota, ramai manusia berbicara, bermacam-macam luahannya. Mereka mula terasa apabila dikritik orang jalanan yang menyatakan: “ Wah, manusia yang tidak berperikemanusiaan, keldai yang kecil tetapi ditunggang oleh dua orang”. Maka, turunlah si ayah dan menuntun keldai dengan membiarkan anaknya tetap diatas keldai.


Dalam perjalanan selanjutnya didengar pula kritik dari orang yang mengaku ahli dalam etika dan sopan santun, katanya: “Anak tidak sedar diri, orang tuanya disuruh berjalan sedangkan dia duduk diatas keldai”. Direspon pula kritikan itu oleh sang anak, kemudian mereka berjalan bersama, bapa, anak dan keldai.


Tidak lama kemudian, berselisihlah mereka dengan seorang pedagang yang selalu mengira tentang untung rugi dan berkata penuh kritikan, “Ah, bodoh sungguh kamu ini cuaca begini kamu berjalan tanpa kasut lagi”(padahal mereka memakai sandal usang). Mendengarkan kritikan yang berbaur penghinaan ini, bapa dan anak mengambil keputusan drastik, mereka menganggap lebih beretika dan berperikemanusiaan tindakan yang akan mereka ambil, iaitu: mereka mengikat kaki sang keldai selanjutnya dipikul oleh mereka keldai itu sambil meneruskan perjalanan di pesta manusia. Tentunya semua yang melihat akan timbul persoalan, dan ketawa melihat kelakuan seperti itu.


Maka sahabatku apa sahaja pekerjaan, lakukan dengan ilmu dan jangan dengar kritikan orang lain tanpa dinilai dengan ilmu, contohi cerita diatas, walhal keldai memang berupaya mengangkat ayah dan anaknya akan tetapi oleh kerana tiada ilmu dan suka mendengar kritikan orang lain maka akhirnya memalukan diri mereka sendiri

Sep 8, 2008

SUATU MASA

Dengarkanlah sahabatku,
Rinduku padaNya,
Agar kita masih dapat bersama,
Mewarnai kembali cintaNya,
Agar suatu masa nanti,
Manusia seluruhnya,
Menyambut salam kita.



Tiada yang lebih indah dari cintaNya,
Tiada yang lebih indah dari merindukanNya,
Tiada yang lebih indah dari menyebut namaNya,
Utuskan surat-suratNya jangan kau buang,
Walau sepayah mana, walau seperit mana,
Sebarkan rindu ini..............................

Sep 7, 2008

RUMPUN MANUSIA HARI INI

Al Baqarah: 21.
Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa,



Ayat Allah ini jika kita perhatikan amat mudah untuk difahami, akan tetapi jika kita dalami maksudnya secara lebih mendalam tidak semua manusia mampu melakukannya.


1. Manusia perlu meyakini dan mengaku adanya kekuatan Yang Maha Tinggi, iaitu Tuhan, Allah, God, Yahweh, Elohim, yang harus disertai dengan rasa tunduk, dan ini merupakan fitrah (naluri) yang dimiliki oleh setiap manusia.


2. Walaupun demikian, manusia tetap memerlukan pemberi peringatan agar tidak menyeleweng dari fitrahnya, mereka adalah para nabi dan rasul kerana dari para nabi dan rasul juga manusia dapat memahami cara untuk menyembah Tuhan dengan sebenarnya.


3. Maka nanti wujud perasaan tunduk kepada Yang Maha Tinggi, yang disebut iman, atau iqtikod, yang kemudian beralih pada adanya rasa suka (rughbah), hormat (ta’dzim), dan lain-lain, itulah unsur-unsur al-din (agama). Al-din (agama) adalah aturan-aturan atau tata-cara hidup manusia yang dipercayai bersumber dari Yang Maha Kuasa untuk kebahagian di dunia dan akhirat Ini telah diamalkan oleh manusia sebelum ini dan telah menunjukkan hasilnya.


4. Telah lahir berbagai agama dan anutan didunia ini dan membentuk satu syariat (aturan) yang mengatur kehidupan manusia, yang termaktub didalam kitab-kitab suci, baik agama samawi (yang bersumber dari wahyu Illahi) mahupun yang terdapat dalam agama ardli (budaya) yang bersumber dari pemikiran manusia. Pemeluk agama-agama yang ada di dunia ini, telah memiliki strategi, cara (method) dan teknik perlaksanaannya masing-masing, yang sudah barang tentu dan sangat boleh jadi terdapat pelbagai perbezaan diantara satu dengan yang lain. Maka wujud pula jurang dalam mempercayai Tuhan.

Sep 6, 2008

PELIK TAPI BENAR

Aku pernah didatangi seorang sahabat dan dia bertanya, “Kalau aku katakan dekat rumah aku sekarang ada Pak Lah kau percaya tak?”. Maka aku jawab “Tidak”, kerana aku kenal siapa kawan aku ini. Takkanlah orang macam dia nie Pak Lah nak jenguk. “Macam mana aku nak bagi kau yakin bahawa Pak Lah memang ada kat rumah aku sekarang?” katanya lagi. “Kau bawa aku jumpa dia sekarang”. Ketawa kecil pula dia, dan dia berkata “Semua manusia pun di muka bumi ini, kalau hendak diyakinkan tentang sesuatu perkara harus dilihat dengan mata kepala sendiri, betul tak?”



“Apa yang kau nak cerita sebenarnya ni, aku dah tak sabar nak jumpa Pak Lah” aku berseloroh. “Nah sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan Pak Lah, aku cuma bagi contoh. Tapi kau percaya tak Allah itu ada?”soalnya lagi. Aku menjawab dengan hairan “Mestilah, kitakan orang Islam”. “Tapi, kau nampak tak Allah? Tak nampakkan? Tadi bila aku bagi tahu Pak Lah ada dekat rumah aku kau tak percaya kerana tak tengok lagi. Kenapa Allah kau tak nampak tapi kau percaya?”soalnya membuatkan aku semakin bingung.


“Begini, aku bukan nak buat engkau pening. Yakin dan percaya juga kita kenali sebagai iman, dan kita punya rukun iman, pertama beriman kepada Allah, seterusnya kepada, malaikat, pada kitab-kitab, pada rasul, pada qada’ dan qadar serta beriman pada hari akhirat. Akan tetapi dalam keenam-enam rukun iman ini, semuanya perkara yang tak mampu kita lihat sekarang ini, melainkan kitab sahaja. Beerti kita harus belajar memahami al-kitab dahulu sebelum kita hendak beriman kepada yang lain. Dari Al-Quran kita akan kenal Allah, para malaikat, para rasul, qada’ dan qadar serta hari kebangkitan”, jawabnya panjang lebar.


Benar juga penjelasannya, kerana hari ini ramai orang Islam cuma berlakon percaya kepada Allah walhal mereka lansung tidak pernah memahami isi Al-Quran, dari mana mereka tahu?. Pelik tapi benar.

Sep 5, 2008

ADA APA DENGAN NAMA?



MusicPlaylist



Segala-galanya punya nama bagi memudahkan kita mengerti dan mengenali apa yang hendak dirujuki atau yang hendak digambarkan. Nama amat penting bagi menggambarkan sesuatu sama ada boleh dilihat atau tidak. Nama juga dapat menerangkan sifat-sifat atau bentuk rupa sesuatu perkara atau benda. Setiap makhluk juga punya nama kerana dari nama kita dapat membezakan identitinya diantara satu sama lain. Melalui nama juga kita akan memahami kemahuannya, caranya serta aturannya.


Shakespeare pernah berkata “Kalau bukan kerana namanya bunga ros bagaimana hendak kita gambarkan bau wangi?”. Beerti kita dapat mengenali segala-galanya berdasarkan nama, walaupun tanpa melihatnya kita sudah dapat menggambarkan serta memahaminya.


Allah tidak dapat dilihat dengan mata kasar, untungnya menjadi orang Melayu kerana rata-ratanya lahir dalam keluarga Islam yang mempercayai kewujudan Allah. Akan tetapi lama-kelamaan manusia mula mempertikaikan kewujudan Allah. Kerana itu jika kita perhatikan surah pertama didalam Al-Quran berbunyi “Bacalah dengan nama Allah yang Maha Pemurah, yang Maha Penyayang”. Beerti Allah mahu kita mengenalinya melalui namanya. Bahkan wahyu yang pertama diturunkan berbunyi “Bacalah, baca dengan nama Rabbmu (Tuhanmu) yang menciptakan”.


Amat penting sekali kita mengenali nama-nama Allah, kerana dari namanya kita dapat memahami sifat-sifatnya dan secara lansung kita akan mengerti tentang cara, aturan dan kemahuannya. Oleh itu hari ini kita mulakan dengan menghafal asmaul husna, kerana nama-nama yang terbaik ini hak milik Allah, milik Islam, milik umat Islam, milik kita bersama.

Sep 4, 2008

CINTA (2)

Al Maa'idah : 54-
“Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui”



INDAHNYA CINTA

Rindu ini semakin mendalam, rindukanMu,

Cinta ini semakin menebal, cintakanMu,

Setiap saat, setiap hela nafasku hanya untukMu,

Tapi sayang aku sering gagal mengingatiMu,

Setiap detik, setiap atur langkahku hanya untukMu,

Tapi sayang aku sering gagal penuhi perintahMu,

Setiap hari, setiap jauh perjalananku hanya untukMu,

Tapi sayang seribu kali sayang aku sering gagal sampaikan amanatMu,


Rindu ini semakin menyemarak, rindukanMu,

Cinta ini semakin indah, cintakanMu,

Akan aku ubah dunia ini agar semua tunduk padaMu,

Akan aku pancarkan cahaya cintaMu,

Akan aku laungkan budaya toleransi dan perdamaian demiMu,

Akan aku bangkitkan jiwa yang sedang dengkur tidur keranaMu,



Rindu ini semakin hangat, rindukanMu,

Cinta ini semakin mabuk, cintakanMu,

"Ya Rabbku, lapangkanlah untukku dadaku,

dan mudahkanlah untukku urusanku,

dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku,

supaya mereka mengerti perkataanku”


Agar semuanya fahami, begitu mendalamnya rinduku pada Ad-deenMu.

Sep 3, 2008

AKU, ISLAM DAN DOT DOT DOT


Pengakuan adanya kekuatan Yang Maha Tinggi, iaitu Tuhan, Allah, God, Yahweh, Elohim, yang disertai ketundukkan itu, merupakan fitrah (naluri) yang dimiliki oleh setiap manusia. Kendati demikian, manusia tetap memerlukan adanya pemberi peringatan agar tidak menyeleweng dari fitrahnya, mereka adalah para nabi dan rasul.


Perasaan tunduk kepada Yang Maha Tinggi, yang disebut iman, atau iqtikod, yang kemudian beralih pada adanya rasa suka (rughbah), hormat (ta’dzim), dan lain-lain, itulah unsur-unsur al-din (agama). Al-din (agama) adalah aturan-aturan atau tata-cara hidup manusia yang dipercayai bersumber dari Yang Maha Kuasa untuk kebahagian di dunia dan akhirat.


Berbagai agama telah lahir didunia ini dan membentuk satu syariat (aturan) yang mengatur kehidupan manusia, yang termaktub didalam kitab-kitab suci, baik agama samawi (yang bersumber dari wahyu Illahi) mahupun yang terdapat dalam agama ardli (budaya) yang bersumber dari pemikiran manusia. Semua agama-agama, baik samawi mahupun ardli, memilikii fungsi dalam kehidupan manusia. Berbagai fungsi tersebut adalah: (i) menunjukkan manusia kepada kebenaran sejati; (ii) menunjukkan manusia kepada kebenaran hakiki; dan(iii) mengatur kehidupan manusia dalam kehidupan bersama.-aspg

Sep 2, 2008

DIRIKAN AGAMA JANGAN BERPECAH BELAH



Dirikan agama dan jangan berpecah belah dalam beragama, lebih-lebih lagi pepecahan yang diwujudkan oleh orientasi motivasional mahupun orientasi nilai keagamaan. Ada dua elemen penting dalam orientasi tindakkan manusia termasuk tindakkan manusia dalam beragama iaitu orientasi motivasional dan orientasi nilai.


Orientasi motivasional ialah yang berhubung dengan keinginan individu yang bertindak itu untuk memperbesarkan kepuasan dan mengurangi kekecewaan, atau dalam makna lain, motivasi untuk memperbesar kepuasan jangka panjang dan jangka pendek. Sedangkan elemen lainnya ialah orientasi nilai. Orientasi ini merujuk kepada piawaian normatif yang mempengaruhi dan mengendalikan pilihan-pilihan individu terhadap tujuan yang dicapai dan alat yang dipergunakan untuk mencapai tujuan itu.


Walhasil, kebebasan individu dalam bertindak, dibatasi oleh setiap piawaian normatif yang ada dalam masyarakat, baik yang bersifat Illahiyah mahupun budaya. Segala norma-norma itu bukan beerti manusia bebas dalam beragama, justeru menawarkan pelbagai alternatif dalam bertindak, bermakna juga bahawa manusia itu dalam beragama mempunyai kebebasan penuh yang dibatasi oleh kebebasan yang dimiliki orang selainnya.


Itu beerti bahawa setiap umat beragama dalam interaksi sosialnya mempunyai kebebasan dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti pemeluknya. Interaksi seperti sudah pasti berkonsekuensi, minimal saling lansung. Kerana strategi, cara dan teknik interaksi masing-masing agama dan para pemeluknya bahkan dalam kalangan suatu agama dan para pemeluknya, sangat mungkin terjadi perbezaan baik secara prinsip mahu pun nonprinsip.


Ini bermakna, dapat kita lihat bahawa individu-individu itu dalam beragama memungkinkan dapat menggunakan agama sebagai kekuatan yang mempersatukan dan sebaliknya juga dapat menggunakannya sebagai pencerai-beraian yang mengakibatkan timbulnya konflik. -aspg

Sep 1, 2008

BUDAYA TOLERANSI DAN PERDAMAIAN (2)


Sikap tegas nabi Muhammad penuh toleransi, tanpa meniggalkan prinsip seperti itu dilaksanakan pada saat masyarakat lingkungannya tampil dengan budaya represif, yang sistem sosialnya dalam proses tidak menghendaki perubahan, bertahan dengan struktur yang ada (morfostatis). Sedangkan nabi Muhammad S.A.W sedang memulai pembentukan kelompok (formation group) menuju perubahan. Ternyata sikap toleransi sangat menentukan proses terjadinya bentuk serta perubahan atau perkembangan suatu sistem mahupun struktural atau penyederhanaannya (morfogenesis).


Sikap toleransi membuahkan kemampuan yang sangat signifikan dalam menetapkan pilihan yang terbaik. Mampu mendengar berbagai ungkapan dan menyaring yang terbaik daripada semua itu.


Sikap toleransi juga melahirkan kemampuan mengubah perilaku individu (self correction) terhadap pola yang selama itu dilakukan, yang tidak berdaya mengubah masyarakat tradisional, tertutup dan represif, sehingga tujuan yang dicita-citakan dapat dicapai. Toleransi, tidak menciptakan individu yang jumut, yang tidak mahu mengubah perilakunya, walau tujuannya tidak tercapai. Secara apologi bersikap dan menyatakan bahawa: “Tujuan itu tidak tercapai kerana belum waktunya” atau nasibnya memang demikian dan tidak mahu mengubah diri.Sikap toleransi, mampu menemukan jalan keluar dan ‘problem solving’ yang pantas dan mengangkat martabat dan harga diri dalam berbagi bidang kehidupan.


Dengan sikap toleransi, Rasulullah bermigrasi (hijrah) meninggalkan kehidupan dan tananan sosial tradisional represif yang belu m mampu diubahnya menuju kepada tempat dan kelompok masyarakat yang telah dipersiapkannya untuk dapat menerima perubahan dan bahkan menjadikannya sebagai agen perubahan di zamannya serta zaman selanjutnya. Bersama kelompoknya kemudian berinteraksi membaur ke dalam berbagai kelompok dalam masyarakat yang majmuk baik keturunan mahupun agama. Interaksi yang sedemikian itu mampu menciptakan kehidupan yang saling memerlukan, dalam bentuknya yang saling bertanggungjawab dalam membela masyarakatnya- aspg