Feb 26, 2009

BASIKAL DAN BASKALAN

q
Oh, sebenarnya aku sedang naik basikal lalu teringatkan Baskalan Paruvati(ejaan aku tak tau), yang aku ingat mamat nie datang dari India. Lama sudah aku berkenalan dengan dia(ho ho ho), dan perkenalan kami di antara seorang pelanggan(aku) dan tukang order kat kedai mamak(dia).


Baskalan pernah bagitau aku yang dia rindu dekat India tapi kena cari duit untuk tampung keluarga dia kat sana. Ada diploma dalam I.T dan memikirkan untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah tapi dalam bidang linguistik.


Persamaan yang paling ketara antara aku dan dia ialah usia, dan pengalaman kami hampir sama(rahsia aku dengan Baskalan, ho ho ho ho). Yang menjadikan aku terfikir tentang Baskalan bila melihat anak Melayu seusiaku yang makin lama makin hanyut, dilambung kemewahan, kekenyangan, disumbat dengan bermacam hiburan tanpa henti.


Hari ini ramai yang mengeluh melihat kemerosotan dan kelembapan ekonomi, namun masih tidak sedar-sedar yang segalanya ditentukan Tuhan, dan Tuhan bukan menjadikan sesuatu itu sia-sia. Semuanya dikhabarkan dalam Al-Quran, cuma kita yang sering melupakan. Baskalan yang melalui keperitan hidup mungkin sedar dan berusaha memecah kebuntuan hingga sanggup ke Malaysia mencari rezeki(walau gaji rm500 sebulan), dan realitinya masyarakat kita(termasuk aku) memang amat rajin dalam menunggu segala macam subsidi.


Sudah cukup bersediakah kita jika ekonomi makin jatuh merundum? Takkan dah terantuk baru nak sedar? Maka sahabatku yang dirahmati Allah, berbelanjalah mengikut rangka yang telah ditetapkan...............................


ps:- barang dapur kasi cukup laaaa.......




58,000 dijangka hilang kerja

KUALA LUMPUR - Kerajaan menjangkakan seramai 40,000 hingga 58,000 orang akan diberhentikan kerja tahun ini ekoran krisis ekonomi global.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad berkata, angka sebenar bergantung kepada perkembangan ekonomi global dan sejauh mana kesan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi pertama dan kedua kelak.

“Krisis ekonomi global telah memberi impak besar terutamanya kepada sektor pembuatan apabila permintaan bagi banyak produk pasaran eksport telah menurun.

“Ini telah menyebabkan syarikat pengeluar terpaksa mengurangkan pekerja melalui tindakan pemberhentian tetap, sementara dan skim pemberhentian sukarela (VSS),’’ kata Noraini pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Bagi memastikan peluang kerja menyebelahi rakyat tempatan, kementeriannya telah memutuskan agar pengambilan pekerja asing dibekukan bagi sektor pembuatan terutama dalam industri elektrik dan elektronik, tekstil, pakaian serta sektor perkhidmatan.-KOSMO

Feb 24, 2009

TUBUH BADAN RASUL

Al Mulk

1. Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu

2. Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,

3. Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?

4. Kemudian pandanglah sekali lagi niscaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah.

5. Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala.


Memandang ayat-ayat Allah yang mempunyai berjuta peringatan dan pengajaran memberikan manfaat pada kita untuk menggunakan akal dan fikiran sepenuhnya dalam menginterpretasikannya dalam kehidupan yang sebenar. Memahami dalam dan luar kotak, memandang dalam apa jua bentuk selagi ianya ilmu dan memberi kesan yang positif.


Kekuasaan Rabb meliputi segala sesuatu dan dikatakan mampu memiliki dan mengarahkan seluruh alam ini mengikut aturannya, pada saat ini ramai yang menyatakan hidup dalam sistem Allah berpandukan aturan dan hukum Allah, akan tetapi bukan dalam kerangka yang telah diajarkan oleh baginda Muhammad saw.
ottoman_empire-300x300 
Mencipta badan kerasulan dalam kerajaan bukan mudah seperti menulis di blog, atau bersembang di Starbuck, namun usahanya meliputi perkara yang rasional dan praktikal hingga Al-Quran kembali relevan dan seluruh kerajaan tunduk pada sistem yang telah diwacanakan Allah.


Namun semuanya berulang-ulang, badan kerasulan atau badan kekhalifahan itu akan hidup dan akan mati, ada siang dan malamnya, yang pasti semuanya berulang-ulang. Fitrah semulajadi ini berlaku kerana manusia punya 'pattern' yang sama dari dahulu hingga sekarang dan akan datang. Masalah manusia hampir sama, dan penyelesaiannya juga sama. Keadaan kini mengarah kembali kepada untuk menghidupkan kembali badan kerasulan yang telah dimansuhkan pada tahun 1924 di Turki, ini kerana sistem yang dipraktikkan sekarang ini gagal dalam menangani masalah manusia dan menyebabkan kerosakkan teruk pada manusia dan alam.


Merangka badan kerasulan perlu ada lapisan yang cermat agar kerja dan komunikasi berjalan dengan lancar. Tujuh lapisan merupakan matlamat utama yang perlu dipersiapkan untuk mengarahkan satu badan yang mana seperti tubuh badan manusia yang punya kepala, anggota badan dan pancaindera. Dan yang pasti satu badan punya tujuh pancaindera utama. Hinggakan bilangan sel dan darah akan menjadi fokus untuk menjadikan satu tubuh badan, kerana itu Allah menegaskan untuk membaca dengan nama Rabb yang menciptakan manusia dari segumpal darah.


Badan kerasulan diterbitkan dari satu individu(dari darah terpilih), hingga nanti membentuk tulang dan dibalut dengan daging hingga nanti terzahirnya dan mampu berevolusi hingga saat pengakhirannya yang sudah pasti. Namun seperti manusia, yang jika ditata dan dijaga dengan baik akan memanjangkan hayat manusia itu sendiri. Jaga makanannya, bersenam(chayook naik basikal....ho ho ho), jaga persekitaran dan pembangunan mental(ilmu).


Jika dinilai dari hasil kerja Muhammad saw yang lepas, umat Islam amat cepat berpecah-belah dan berbunuhan selepas kewafatan baginda, manakala Musa a.s dikhianati waktu usianya dengan hampir semua umatnya kembali menyembah selain Allah, ini kerana usaha yang dilakukan amat pendek dan tidak direncanakan pelan jangka panjang dalam menata pambangunan manusia selepas mereka meletakkan dasar kerajaan mengikut perintah Allah. Perlu difikirkan sesuatu.

versailles1
Syaitan mengajak manusia kearah kehancuran, pastinya si syaitan tidak sedar bahwa dirinya syaitan. Syaitan biasanya mengarah manusia kearah perkara yang negatif yang memberi kesan yang buruk yang diumpamakan seperti neraka. Kini amat banyak syaitan-syaitan yang berkeliaran dimuka bumi yang merasa dirinya melakukan kebaikkan. Syaitan juga takut pada Rabbnya, namun kerana desakkan nafsu dan persekitarannya membuatkan dirinya tertewas dan melakukan onar.


Perhatikan pada diri kita, andai terbangkitnya Badan Kerasulan, maka kita berada dimana? Lebih-lebih lagi jika yang menzahirkan badan kerasulan itu bukan dari kalangan orang yang dipandang layak, atau dalam kalangan yang suka melakukan kerosakkan. Bagaimana sikap kita? Membenarkan atau terus menyemarakkan api neraka?

Feb 22, 2009

TANPA KATA

Al Maa'idah:68.

Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikitpun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil, dan Al Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu." Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan dari mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.


"Jelas sudah jelas apalagi kau tunggu

Termanggu-manggu terpeluk kaku

Hayunkan langkahmu sayang, kami di depanmu

Dalam nada setia yang satu

Dalam janji yang satu

Pada kiblat yang satu

Menghamba diri pada yang satu"



ps:- aura kemalasan telah tersebar dalam jiwa. keh keh keh….sorry bos! Laukku cukup masin dah, tak perlu kau tambah garam......



Feb 20, 2009

PALA, PALAS, TIN dan PALESTIN

ps:- jangan baca, entry ini hanyalah entry merepek, takut ada yang tak faham, tak tahan dan sakit hati. sekian.

ist2_549384_oil_paints

Buah pala(nut meg) tumbuhan malar hijau berasal dari Asia Tenggara dan Autralasia. Bahagian perikarpnya, walaupun terlalu masam dan kelat untuk dimakan dalam keadaan segar, ia boleh diproses untuk dijadikan halwa, gula dan jeruk pala. Manakala biji dan aril boleh dikeringkan dan digunakan sebagai rempah.


Rempah ini digunakan dalam penyediaan berbagai jenis makanan terutamanya untuk memberi perisa pelbagai jenis sos dan kicap. Bercerita tentang rempah, pernah dengan menggunakan alasan mahu berdagang dan mencari rempah, Portugis akhirnya mampu menawan Melaka. Heh! Alasan.


***


Manakala daun palas pula biasanya digunakan untuk membuat ketupat daun palas yang terkenal di utara semenanjung. Sedap dicicah rendang waktu hari raya, mudah dibuat dan menggunakan pulut sebagai bahan utamanya. Raya, raya dan raya, macam-macam raya dan yang paling tidak boleh ditinggalkan ialah hari raya aidil fitri, yang peliknya ramai yang beraya namun masih ramai yang belum fitrah. Kerana kata Sang Pencipta dalam Ar-Rum ayat ke 30;-


Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui


Maka raya sekarang bukan kerana manusia telah menghadapkan dengan lurus pada Islam namun kerana boleh makan ketupat daun palas. Huh! Kejam.


***


Manakala Buah Tin yang disebut-sebut dalam Al-Quran dikatakan jika dimakan dengan kering dan tidak terlalu banyak mampu menghindari badan dari bahan-bahan keracunan, melicinkan tekak dan dada, mencuci hati dan jantung(?), dan mampu membersihkan lendir-lendir dalam usus.


Maka banyaklah produk kesihatan yang bersumberkan buah tin lebih-lebih lagi nama buah tin disebut-sebut dalam Al-Quran. Manusia terutamanya orang kita memang sukakan sesuatu yang pelik walaupun jelik. Ramai yang melakukan sesuatu tanpa ilmu. Maka ramailah yang diperbodoh-bodohkan.


Dan cara terkini dan terancang untuk memperbodohkan orang-orang pandai(rasenye pandai) adalah melalui media cetak, media elektronik, terutama dengan wujudnya pengiklanan. Yang buruk mampu dicantikkan dengan kuasa iklan, yang bodoh mampu dinampakkan pandai dan yang paling lawak, setan nampak seperti tuhan. Ha Ha Ha! Bijak-bijak.


***

kzug3nykc

Manakala Palestin diwujudkan enam tahun selepas kelahiran aku(keh keh keh) yang membentuk pemerintahan Republik berpalimen, dimerdekakan dengan cara yang berbeza iaitu dengan mengikat empat juta etnis dalam satu wadah(negara lain merdeka kerana persetujuan penjajah).


Sejarah Palestin amat panjang dan getir dan terlalu rumit hingga kini tiada jalan penyelesaian yang terbaik. Oleh kerana yang menghuni Palestin kebanyakkannya orang Islam(?), maka seluruh masyarakat Islam membenci Israel. Dan yang menarik rupanya masih ramai yang punya hati dan perasaan hinggakan semuanya dengan satu nada membenci peperangan(sekadar benci yang tiada makna).


Yang agak mengecewakan ramai yang memikirkan bentuk penyelesaian jangka pendek sahaja tanpa merancang dan melaksanakan perancangan jangka panjang, walau dengan kekuatan berbillion masih tidak mampu menundukkan kuasa yang dianggap sebagai Iblis dunia.


***


Apa persamaan buah pala, daun palas, buah tin dan palestin? Selain dari namanya(ho ho ho) banyak pelajaran yang boleh diambil.


Keempat-empatnya datang dari pokok. Punya akar, batang dan buah. Beribu tahun lepas Allah telah menyampaikan kepada Muhammad saw bahwa kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh, batangnya menjulang kelangit, dan berbuah setiap musim, manakala kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, akarnya tercabut dari bumi dan boleh dialih-alihkan.


Kalimat yang terbaik adalah kalimah tauhid, mengesakan Allah. Esa ertinya satu, tunggal. Malah Allah menyeru kepada manusia untuk hidup dalam penyatuan, kerana dengan bersatu sahaja mampu merahmatkan alam dan manusia akan hidup dalam keadaan yang fitrah.


Melaka di tewaskan kerana gagal untuk bersatu(alasan rempah konon), masyarakat kita tidak fitrah dan hilang nilai kemanusian kerana gagal untuk menyatu(raya takda makna), kejahilan berleluasa hingga yang memimpin melakukan pembohongan, maksiat dan kezaliman dengan berleluasa kerana kita masih gagal bersatu dan Palestin hingga kini dijajah dalam merdeka kerana kita gagal mencari makna bersatu yang sebenar.


Jika pokok pala, pastinya akar pala, batang pala dan berbuahkan buah pala, sama dengan yang lain. Begitu juga palestin jika dasarnya republik maka yang memegangnya(tempat) republik dan menghasilkan rakyat republik sama dengan yang lain.


Penyelesaiannya amat mudah namun tiada jalan mudah, fahami Al-Quran, laksanakan seratus peratus dan nanti kita lihat hasilnya. Jangan campur aduk dan jangan ‘bengap’ hanya memandang dari satu ‘perspective’ sahaja.

Feb 18, 2009

SERUPA TAPI TAK SAMA

iraq-liberated_boy

Setiap kali aku melalui jalan menghala ke Taman Sentosa, Klang dari Padang Jawa aku akan memperlahankan kenderaan ketika menghampiri masjid yang dihadapannya dibina sebuah kuil. Amat menarik sekali terutama pada waktu maghrib di mana sang bilal sedang enak melaungkan azan dan sang penjaga kuil sedang hangat menghayunkan loceng.


Maka berlawan-lawanlah bunyi loceng dan azan menghasilkan satu irama yang cukup menarik. Hingga pernah suatu hari aku memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Lalu aku menikmati seruan azan yang diselang selikan bunyi irama loceng kuil. Kedua-duanya punya erti yang hampir sama, mengajak umat untuk menghadap Sang Pencipta, yang berbeza cara, gaya dan bahasa.


Kedua-duanya mengharap perkara yang sama agar Tuhan mengampuni dosa, menambah pahala dan memberikan syurga. Kedua-duanya yakin itulah jalan yang benar, jalan yang telah disampaikan sekian lama dari generasi ke generasi. Tanpa perasaan prejudis dan tanda tanya terus mereka sembahyang dengan cara yang berbeza. Si Hindu mengharap yang lain memahami prinsip mereka, si Islam mengharap yang lain mengerti prinsipnya.


Yang mahu aku sampaikan apa sahaja anutan maka saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain, dan berbuatlah dengan ilmu pengetahuan bukan kerana itulah yang telah disampaikan oleh nenek moyangmu. Hidup ini lebih beerti jika kita makin memahami setiap apa yang kita kerjakan, mengerti dan pasti.

Feb 17, 2009

AKU RAJA SAMPAH

18265Siapa raja?

Aku, Kau atau DIA?

Aku boleh jadi raja Kau.

Kau boleh jadi raja Aku.

Tapi DIA raja manusia.



Jika benar DIA raja manusia.

Manusia harus tunduk taat padaNYA.

Tapi realiti yang nyata.

Manusia raja manusia.

DIA?

DIA bukan raja.

Sekadar nama yang tiada apa-apa.



Siapa raja?

Jika raja perlu ada tahta.

Mana tahtaNYA?

Mana jajahanNYA?

Mungkin benar DIA bukan raja.

Kerana tiada tempat ikuti aturanNYA.



Atau.

Mungkin benar DIA raja manusia.

Cuma Aku, Kau dan Mereka masih lupa.

Hanya dia Sang Raja.

Bukan Raja Gopal atau Raja Ema.

Namun RAJA MANUSIA.

(titik)


:-)

Feb 14, 2009

PANGLIMA GARANG YANG KELAKAR


"Bukan beerti mencari kesalahan dalam sistem demokrasi yang ditinggalkan penjajah(kerana semuanya dari Tuhan), namun bagaimana untuk kita menambah nilai dalam sistem yang telah berakar umbi ini? Dan dari mana perlu kita mulakan?"- kakisyurga


Kamu tak faham hakikat DEMOKRASI..jadi pesanku, usah berbicara hal yang kamu tak tahu. Demokrasi dari Akal manusia yang ditinggalkan penjajah. Kamu mahu menambah saham dengan menambah nilai sistem ini?oh..sedarlah umat Islam..jangan terleka dengan bau wangian DEMOKRASI sedang ia sebenarnya najis.


Kembalilah kepada sistem ISLAM..bacalah Al-Quran dan fahami..Perhatikanlah sunnah apakah itu sisten ISLAM.

-panglima garang-





Sahabatku yang dirahmati Allah,

1. Memang demokrasi datang dari akal manusia, dan jawab pula persoalan aku, manusia datangnya dari mana? Tercipta sendiri? Semuanya datang dari Allah sahabatku.


2. Aku tak cakap pasal tambah saham, tapi tambah nilai, dalam kurungannya, yang kita mahu cari adalah persamaan bukan perbezaan.


3. Sebab terlalu emosi En Panglima Garang telah mengeja 'sistem' menjadi 'sisten'. He he he memang lawak, sekali bace macam setem pun ade. Jangan marah bro aku gurau jerk.


4. Bacalah sejarah dan fahami sebenarnya apa itu Islam, aku malas nak menghuraikan panjang lebar, jika benar mahu menegakkan Sistem Islam yang sebenar mulakan dari dalam diri kita dahulu, jika kita sendiri masih berfikiran 'jahiliyah' bagaimana?


5. Kebanyakkan yang aku bagi adalah kiasan untuk difikirkan, dikaji dan difahami. Kegagalan umat Islam hari ini kerna terlalu emosi, ego dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Demokrasi, Komunis, Liberal atau apa pun namanya semua dari Tuhan semuanya mengarah kepada kebaikkan namun adakah kebaikkan yang dilakukan didasari dengan cara dan faham Allah? Bukankah pernah Junjungan besar kamu bersabda bahwa setiap perbuatan yang baik haruslah didasari di dalamnya dengan Basmallah jika tidak tertolaklah ia. Kenapa dan mengapa?


Kerana 'awwal ad-deen ma'rifatullah', atau bahasa mudahnya permulaan sistem dengan mengenal Allah, maka aku memohon pada kalian kenalilah nama-nama Allah dahulu, fahami ismenya, ideologinya buat apa yang diperintah dan tinggal apa yang dilarang, ajaran Illahi untuk semua bukan yang kononnya beragama Islam sahaja, untuk semua manusia sahabatku, semua.

Feb 13, 2009

SEMERAH PADI SIAM

Semasa menunggu ‘burger tak sedap’ brother blok depan, aku melemparkan pandangan pada kaca tv, yang menayangkan cerita seram(kononnya), aku sempat tengok bab saat si dukun(zami @ pak uda) membaca mentera yang kedengaran menggunakan ayat-ayat suci al-quran. Terus aku ketawa kecil, teringat sewaktu belajar silat dengan ayahku.


Bercerita tentang seni mempertahankan diri pada asalnya aku belajar “Silat Cengkaman Harimau” yang mana dikatakan lahir dari daerah Jelebu, pulunlah aku mempelajarinya hingga tali pinggang merah, begitu banyak mentera yang perlu diucapkan. Doa masuk gelanggang, doa kunci, doa mandi malam sebulan, doa tahan sakit yang mana semuanya dicampur adukkan dari ayat al-quran dan bahasa-bahasa yang sedikit puitis yang aku sendiri tidak dapat memahaminya.


butterflybw

Setelah ‘tok guru’ sakit dan orang-orang kanannya malas(tak tau apsal) mengajar kami, maka ada yang mengesyorkan pada aku untuk mempelajari ‘Silat Kunci Belia 4B’(SIKUBI) yang asalnya dari ‘Silat Kunci Melayu"’, maka sempatlah aku belajar beberapa langkah dan bunga dan sempat mengikuti beberapa persembahan yang diadakan. Pernah kami diminta mengadakan persembahan secara beramai-ramai(seluruh Malaysia) dan seisi terakhir aku dapat bersalaman dengan ‘tok guru’ yang tertera kalimah Allah dan Muhammad dengan benang emas di kiri dan kanan bahu bajunya.


Lantas aku terfikir begitu hebatnya ‘tok guru’ hingga nama Allah dan Muhammad dijahit dibahunya. Pengakhiran aku dengan SIKUBI kerana jurulatih kami seorang yang pemabuk dan sukakan gam(hisap), dan kerana percaturan politik dan dipolitikkan maka aku mengundur diri.


Setelah ayah aku kembali bersama kami sekeluarga maka aku ‘mengendeng-ngendeng’ untuk belajar pula silat dari dia yang aku tahu dia pernah belajar ‘Sendeng’ dan ‘Silat Gayong Pusaka’ dari Panglima Bukit Gantang. Silat Sendeng aku tamatkan dalam tiga minggu kerana aku konsistan setiap malam dan buahnya cuma ada 7 asas yang utama dan yang pasti aku sudah ada asas dalam silat.


Gayong Pusaka pula aku berjaya habiskan dalam dua tahun memahami buah asas termasuk kunci mati, pedang, parang dan kayu. Yang aku paling minat adalah kayu, sebati dengan jiwa aku kerna bagi aku parang terlalu tajam dan menyakitkan. Sempatlah mandi minyak, kebal(entah), dibelasah dengan kayu(konon nak test kebal), bertapa malam dan menerima ‘ibu gayong’.


Dan seni mempertahankan diri yang terakhir setakat ini yang aku pelajari adalah karate-do dan sempat mendapat tali pinggang unggu dan mewakili UiTM ke sukan Selangor dan kalah dengan bergaya, keh keh keh.


IDOL


Ok cukup, disini aku terangkan panjang berjela supaya tidak ada yang akan menyangkal apa yang ingin aku utarakan. Kerana semuanya pengalaman aku sendiri.


Semua silat yang aku pelajari amat bagus kerana menyihatkan badan namun silat tidak boleh dipisahkan dengan jampi mentera. Dan yang menyedihkan ayat-ayat tambahan dalam bahasa Melayu ini kebanyakkannya berunsurkan kepada unsur pemujaan sang dewa, semangat besi dan roh-roh. Diantaranya seperti;-


“Hulija, hulika”


“Hai besi semangat aku, berdampinglah dengan aku, huk hak kejadian, air buih batu besi dengan kalimat laillahaillaulah”


“Summumbukmum um yum fahom layark kilun

Summumbukmum um yum fahom layark jiun

Summumbukmun um yum fahom layark takallamun”


“Alif lam min, aku seru kau yang dari bukit, aku panggil kau raja laut, dengan semangat Sulaiman aku berdiri, dengan jiwa Ali aku berani dari hujung ibu jari kaki hingga ke dalam hati dengan kalimat laillahaillaulah”


Dan banyak lagi sebenarnya jampi mentera yang pernah aku hafalkan dan praktikkan hinggalah terfikir pada suatu hari setelah mengkaji sejarah sewaktu berlakunya perperangan di bukit Uhud dimana tentera Islam hampir dikalahkan semula dan dikisahkan bahawa Nabi Muhammad saw hampir nyawa-nyawa ikan, luka habis badannya dan patah giginya, mujur-mujur diangkat oleh Talha bin Ubaidah ke atas kuda. Kenapa yang namanya Muhammad rasul akhir zaman boleh cedera dan patah gigi jika Al-Quran berupaya menjadikan manusia kebal?


Sahabat yang dirahmati Allah, Al-Quran bukan sekadar ditinggikan bahasa dan kalimatnya, dijadikan jampi serapah atau dibuat pendinding atau meghalau hantu(sekarang banyak hantu, keh keh keh) mahupun pelaris kedai. Allah turunkan Al-Quran sebagai panduan kepada manusia agar manusia mampu hidup dengan aman hingga berupaya merahmatkan alam ini.


Namun hari ini orang Melayu jauh meninggalkan dasar Islam, jauh meninggalkan Al-Quran, fahamilah kembali ayat-ayatnya, dan laksanakan bukan sekadar ilmu kebal(keh keh keh) namun penyelesaian segala kebuntuan terkandung dalam Al-Quran. Kebuntuan perpecahan orang Melayu, kemelesetan ekonomi, peperangan, dan hilangnya rasa kemanusiaan. Penting membetulkan tajwidnya namun lebih penting mempraktikkannya.



Al Baqarah:185

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda. Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan, maka sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.

Feb 10, 2009

PASTI MENANG


Dalam lingkungan kehidupan ini bukan mudah untuk memuaskan hati setiap orang, pelbagai perangai, pendapat dan prinsip, namun adakalanya perlu diperjelaskan pada mereka walaupun perkara itu bukan mudah untuk diterima. Manusia kini bijak dan bajik, namun kebijaksanaannya adakala menjerumuskan kepada kehancuran. Peringatan yang diberi masih tidak berupaya mengubah pandangan manusia.


Semuanya melaungkan dan menyatakan mahu membuat kebaikkan, memandang manusia lain yang berlainan pendapat dan pegangan seperti sampah, perlu dilupuskan segera, makin dibiar makin sesak hidungnya. Bila yang berlawanan melakukan kesilapan maka dicananglah bagai dirinya maksum tidak pernah melakukan dosa.


SEDIH DAN AMAT KECEWA. Melihat bangsa Melayu 'Islam' yang hari ini lupa diri. Kesilapan demi kesilapan masih tidak mampu memandaikan orang Melayu yang kini makin dikuda dan dikastakan, siapa yang melakukannya? Orang Melayu itu sendiri, yang dendamnya lebih dalam dari soal kemanusian, yang kuasa dan harta lebih bernilai dari memartabatkan bangsa, yang partinya lebih berkuasa dari yang Maha Esa.


Aku biasa dan amat biasa berjumpa dengan golongan yang dimulutnya berapi-rapi menyatakan mahu mendaulatkan bangsa ini namun akhirnya menyatakan 'andai aku mampu'. Kebanyakkan halangan berpunca dari harta dan tanggungjawab terhadap keluarga. Dahulu yang namanya Muhammad tidak makan? tidak berkeluarga?


Pengorbanan bukan sekadar bercerita di mimbar, berceramah di surau-surau malah lebih lagi. Perlu ada usaha gigih dan pengorbanan yang besar dan semua itu kerana mengejar keredhaan Allah, tiada cinta tanpa pengorbanan.


Jika dengan pergi dari rumah ke rumah bercerita tentang sirah nabi mampu merahmatkan alam maka silakan, jika dengan berpolitik mampu merahmatkan alam silakan, jika dengan ekonomi dan pendidikan mampu merahmatkan alam maka silakan. Tapi perlu ingat kata junjungan besar kita Muhammad saw bahwa "Setiap perbuatan yang baik harus didasari di dalamnya dengan, dengan nama Allah jika tidak tertolaklah ia".


Yang sedikit pasti menang. :-) Chayook....


Ps:- Superb trimas pada sahabat aku Wira dan en XZ, aku nak nangis, tq korang....... makasih daun keladi..... keh keh keh

Feb 8, 2009

PEG’AK(sebutan minta tanyakan pada orang Jelebu)

Jika dahulu gurulah yang mengajar kita di sekolah, diajarkannya mengeja dari awal hingga kini kita sudah pandai bermain dengan perkataan. Terus kita disumbat dengan ilmu mengira(dulunya ilmu hisab), diajar tentang sejarah tamadun kita, diperkenalkan dengan ilmu geografi, dan pastinya tidak lari dari pendidikan Islam, mengajar tentang fardhu ain, belajar bahasa arab(walaupun tak pernah faham), dan diajar pula tentang hukum-hakam.


Aku bukanlah orang yang layak merungkai dasar pendidikan negara, namun fikirkan dari aspek rasional. Pendidikanlah yang berupaya mengeluarkan manusia dari kegelapan dan dari kebuntuan, walaupun negara kita punya institusi pendidikan yang boleh dibanggakan(memang aku bangga) namun apa hasil dari pendidikan yang telah disampaikan, apa yang tidak kena sebenarnya?


Cukup. Jangan tipu diri, produk yang dikeluarkan amat menghampakan, aku bukan berbicara tentang CGPA atau berapa ribu yang berjaya menjadi ‘orang’ hingga bergelar doktor, peguam, pensyarah, jurutera dan macam-macam lagi. Namun yang mahu aku sampaikan nilai yang ada dalam diri generasi penerus.



Ilmunya tidak seimbang, maka lahirlah doktor yang menjadi tokan ubat batuk, peguam yang kaki ketuk, pensyarah yang "di tangga melepaskan batuk", jurutera yang buat jambatan macam buat senduk. Jika pendidikan yang tidak seimbang ini diteruskan lagi maka 10 tahun akan datang kita sekadar mengeluarkan lebih ramai ‘kaki clubbing’ dan ‘kaki tonggang’.



Apa yang aku katakan sebagai dasar? Perkara yang asas. Bukan beerti mencari kesalahan dalam sistem demokrasi yang ditinggalkan penjajah(kerana semuanya dari Tuhan), namun bagaimana untuk kita menambah nilai dalam sistem yang telah berakar umbi ini? Dan dari mana perlu kita mulakan?

Rubber_BootsPertama sekali perlu ada usaha untuk menjadikan pendidikan sebagai sumber pencetus kehidupan termasuk ekonomi, bukan pendidikan sebagai ekonomi bagi meneruskan kehidupan. Kata mudah, di negara kita,”ada duit ada pendidikan” sepatutnya, “ada pendidikan ada duit”. Ramai diantara kita sekolah atau menyekolahkan sekadar untuk lulus periksa maka ramai yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan melalui pendidikan.


Kegagalan kita dan sikap ambil mudah tentang kepentingan mendokong pendidikan negara, mengakibatkan anak-anak sekadar belajar untuk dapat ‘A’. Perlu serius dalam menata pendidikan namun bagaimana jika kita masih sibuk mengejar pangkat? gila mahu jadi MB? sibuk dengan kutuk-mengutuk parti lawan? sibuk boikot-memboikot? Iya…..mari sama-sama merosakkan lagi generasi dengan perangai kebudak-budakkan kita.

Feb 7, 2009

BUKAN CINTA BIASA

ist2_1856787-flower-sketch

Terkadang aku lesu memikirkan dosa bertimbun

Terkadang aku sayu mengira bebanan segerombon

Namun semua hilang bila fikirkan cintaNya

Kekuatan entah dari mana yang aku tahu aku cuma mahukanNya



Jika kau kata aku kafir,

Iya, aku kafir pada Thoghut

Jika kau bilang aku syiriq,

Iya, aku syiriqkan nafsuku dengan cintaNya

Jika kau panggil aku gila,

Iya, kerana yang namanya Muhammad memang gila



Bertahun sudah kami bernafas

Onak duri sudah biasa kami tebas

Gunung tak pernah terbatas

Tugas tetap tugas

Sangkakala sudah berbunyi,

Takut ada yang mati hati,

Menyesali laku keji,

Tiada main-main lagi kerna disini soal hidup dan mati,

Soal pengganti dan generasi,



(titik)

MELAYU YANG PELIK

-Babi haram…

Aku tau


-Arak haram….

Aku memang tau


-Zina haram…..

Betul aku tau


-Riba haram……

Tau, tau, dulu mak aku dah bagi tau


-Rokok haram….…

Err… aku buat tak tau boleh?


Al-Baqarah;42.

Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.

Feb 4, 2009

SABAR, SABAR dan TUNGGU

Al Maa'idah:104.

Apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah mengikuti apa yang diturunkan Allah dan mengikuti Rasul." Mereka menjawab: "Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya." Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?.


Alasan demi alasan akan dikemukakan oleh manusia untuk tidak mengikuti ajaran Allah dan Rasul, mereka lebih selesa mengikut hukum dan cara tradisi yang dianggap jalan yang terbaik. Hingga kini banyak urusan tidak didasari dengan Allah Minded, waima semuanya menyatakan berTuhankan Allah.


Ramai yang tidak kisah janji perut kenyang, namun fikirkan sejenak tanpa benar-benar mengikut kehendak Yang Maha Pencipta maka banyak kesan yang negatif akan berlaku. Sepandai mana pun manusia ini tidak akan mampu mengubah manusia dan mengawal manusia walaupun tindakkan itu nampak baik atau dilakukan sebaik mungkin.


Sekiranya alam ini tidak ditata dan dijaga dengan selayaknya dengan memperlakukan hukum dan aturan Allah maka terus-menerus manusia ini akan tersesat dari fitrahnya. Tidak mustahil bencana alam akan terus mengganas, peperangan terus meratah manusia dan kemungkaran terus berleluasa.


Perpecahan berlaku, penindasan sewenang-wenangnya, kejahilan terus membuak-buak hingga tahap pemikiran manusia lebih rendah dari seekor keldai. Namun kerana penguasaan tampuk pemerintahan(pandang secara global) tidak menyebelahi hukum Allah dan Rasul maka semuanya terus berlalu.


Kita kini punya ruang dan peluang walaupun ianya kecil dan tipis namun ia sebenarnya jalan yang terbaik kerna inilah yang dituntut oleh Sang Pencipta. Bagaimana? Ia bermula dari usaha dari dalam diri kita sendiri.


Nyatakan seikhlas yang mungkin membenarkan hukum Allah perlu diperlakukan dengan seluas-luasnya. Dari mana dan bagaimana mahu dimulakan? Bacalah Al-quran, bukan sekadar menjaga tajwid dan nahunya namun mulakan untuk memahami maksudnya yang sebenar.


Kita akan tertawa melihat orang Jepun membaca tulisan dalam bahasa Melayu, memang bunyinya akan hampir sama, namun fahamkah mereka? Kenapa kita tidak ketawa melihat orang kita membaca Al-Quran dalam bahasa Arab? Walaupun bunyinya hampir sama namun fahamkah kita?

Feb 2, 2009

KAK TIE YANG COMEL

Nie pemberian kak tie, diantara tempat(blog) aku mencari idea dan menilai kehidupan, melihat pandangan para sahabat blogger yang bermacam ragam dari pelbagai lapisan usia dan status.



Masyarakat Malaysia memang unik lain dari yang lain, mendalami arena memblog di Malaysia membuatkan aku semakin teruja kerana dari blog kita dapat tahu tentang pandangan dan pengalaman orang lain walau tidak pernah bersua secara bersemuka namun ia satu kaedah komunikasi yang bagus dan berkesan.


Ini kerana blog bukan sekadar tempat untuk memaparkan rasa hati kita tentang isu yang kita suka atau isu yang mahu dikongsikan bersama, namun ia turut menunjukkan ekspirasi diri kita. Pernah aku diberitahu bahawa tulisan menggambarkan diri kita yang sebenar, dari tulisan seperti di blog, orang lain dapat menilai sejauh mana tahap pendidikan dan pemikiran serta budaya yang dibawa seharian dalam hidup kita.


Maka para blogger termasuk Kak Tie teruskan bekarya, aku lebih suka baca blog dari baca surat khabar, kenapa? nak tau? banyakkan lagi meluangkan masa di blog orang lain(aku cakap kat diri sendiri yang sekarang dah jarang menziarahi blog orang lain, sibuk dan menyibukkan diri, keh keh keh).


Tq Kak Tie........