Sep 8, 2009

KEREPEK BULAN PUASA

Ha ha aha ha...... Nie nota aku, klu ade nak tambah fakta tolong masukkan dalam komen nanti aku update, thanx.....




Terlalu banyak percanggahan teori dan fakta yang kita temui mengenai diri Muhammad sama ada dari oral atau dari bahan cetak. Oleh yang demikian, untuk makluman pembaca terlebih dahulu perlu dimaklumkan, bahawa maklumat terawal mengenai latarbelakang dan kata-kata(hadith) Muhammad yang direkodkan adalah dari Ibnu Ishak dalam “Sirah Rasul Allah”. Ibnu Hisham menegaskan bahawa Ibnu Ishak mula merekodnya pada 120 ke 130 tahun selepas kewafatan Muhammad dan tulisan asal(original work) sirah ini telah hilang serta tidak dijumpai hingga kini. Manakala sumber terawal yang lain datang dari bukan Islam, S.A Nigosian mengesahkan kewujudan Muhammad dari sumber terawal pada tahun 634M tetapi yang menariknya kebanyakan tarikh-tarikhnya pula ditulis sedekad selepas itu.


Sumber terbesar yang terpelihara hingga kini adalah di dalam kitab Al Quran, kerana banyak penjelasan berkenaan Muhammad dimuatkan di dalam surah-surahnya.


Manakala imej atau gambaran Muhammad yang terawal yang masih terselamat dijumpai pada tahun 1315M, imej tersebut menggambarkan Muhammad sedang meletakkan batu Hajaratul Aswad (batu hitam) nukilan Tabriz dari Persia, turut dimuatkan dalam “Rasyid al-Dins Jami’ al-Tawarikh” (“The Universal History” atau “Compendium of Chronicle”) yang sekarang dipamer di Edinburgh Universiti.



SEKILAS PANDANG: “PERJALANAN HIDUP MUHAMMAD”

Sebelum Kelahiran
Muhammad berketurunan bangsa Quraish. Bapanya bernama Abdullah bin Abdul Muttalib(Shaiba) bin Hashim(Amr) bin Abdul Manaf(Al-Mughira) bin Qusai(Zaid) bin Kilab bin Murrah bin Ka’b bin Lu’ay bin Ghalib bin Fahr(Quraish) bin Malik bin An-Nadr(Qais) bin Kinana bin Khuzaimah bin Mudrikah(Amir) bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma’ad bin Adnan (didakwa sebagai Nabi Adnan putera Nabi Ismail) dan merupakan keturunan Nabi Ibrahim.


Abdullah telah meninggal dunia semasa berdagang. Dua teori waktu kewafatan Abdullah iaitu pertama ketika Muhammad 6 bulan dalam kandungan dan kedua ketika 6 bulan sebelum kelahiran (+-3 bulan dalam kandungan).


Manakala ibunya bernama Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab(dan seterrusnya mengikut susur jalur Murrah hingga Nabi Ibrahim seperti mana diatas).


Semasa Kelahiran
Qusai merupakan lagenda dalam keturunannya kerana telah berjaya merampas kembali kota Mekah dan menjadikan keturunannya sahaja yang berhak mentadbir Mekah. Di saat kelahiran Muhammad, Abdul Muttalib(datuk Muhammad) adalah individu yang ketika itu menerajui tampuk pemerintahan Mekah, terutamanya menguruskan sumber ekonomi terbesar Mekah iaitu pengurusan ‘Ibadat Haji’.


Lahirnya Muhammad sama pada tahun ketika Abrahah, gabenor Yaman(dibawah jajahan Rom) menyerang kota Mekah. Dikenali sebagai “Tahun Gajah”. Pengiraan semula tarikh mengikut kalendar Hijriah, menyatakan tarikhnya pada 12 Rabbiulawal Tahun Gajah. Manakala mengikut kalendar Miladiah, rata-rata mengatakan pada 20 April 570M, manakala mengikut dakwaan golongan Syiah pula pada 26 April tahun yang sama dan ada juga yang menyatakan Muhammad lahir pada tahun 571M.


Dinamakan sebagai Muhammad(Umat Yang Terpuji), manakala sumber dari Al Quran menyatakan namanya Ahmad(Yang Terpuji), AQ. S.61 A.6, “Dan ketika Isa Putra Maryam berkata: ‘Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan seorang rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad’ Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: ‘Ini adalah sihir yang nyata”.


Semasa kanak-kanak
Menjadi kebiasaan golongan bangsawan di tanah Arab pada ketika itu menghantar anak mereka untuk dijaga diluar dari kota Mekah(perkampungan), bagi menghindari dari pengaruh sosial dan persekitaran kota yang mana tahap keruntuhan moral ketika itu terlalu kronik, dan Halimatus Sa’diah telah menjadi ibu susuan Muhammad. Kebanyakkan sirah menyatakan Muhammad pada waktu kanak-kanak rajin membantu ibu susuannya memelihara kambing.


Seawal usia enam tahun, Muhammad telah menjadi anak yatim piatu berikutan kematian Aminah, ibunya. Maka tugas untuk membesarkan Muhammad diambil alih oleh Abdul Muttalib sehingga dia berusia lapan tahun, datuknya pula meninggal dunia dan hak penjagaan seterusnya beralih kepada Abu Talib(bapa saudara) yang merupakan seorang pedagang, juga pemimpin bani Hashim, golongan yang paling berpengaruh dalam kaum Quraish.


Zaman Remaja
Oleh kerana Abu Talib merupakan seorang pedagang, maka pada usia remaja Muhammad sudah mula didedahkan kepada alam perniagaan, ini rentetan Muhammad kerap mengikut dan membantu Abu Talib berniaga ke Syam.


Berlaku perang saudara diantara bani Quraish Kinanah dan Qais Ailan di Mekah ketika Muhammad berusia 15 tahun. Kebanyak sirah menyatakan bahawa Muhammad membantu Abu Talib mengutip anak panah musuh(Qais Ailan) untuk digunakan semula, dan ada juga sumber ‘menggembar-gemburkan’ bahawa Muhammad dilantik sebagai ‘panglima perang’. Peperangan saudara ini dinamakan sebagai ‘Harbul Fijar’(memecah kesucian), kerana peperangan ini berlangsung dalam bulan Zulqaedah. Bangsa Arab pada ketika itu diharamkan berperang dalam bulan Zulqaedah.


Meneruskan kehidupannya dengan membantu Abu Talib berdagang dan secara tidak langsung terlibat dalam urusan perdagangan yang terhubung di antara Lautan India dan Lautan Mediteranian. Ini menjadikan Muhammad seorang yang berpengetahuan luas.


Seusia 24 tahun khidmatnya diperlukan pula oleh Khadijah bin Khuwailid untuk menguruskan rombongan perdagangan ke Syam. Sifat amanah, jujur dan mudah berkomunikasi meninggkatkan hasil dagangan Muhammad dan memberikan keuntungan yang lumayan. Khadijah meminta hambanya iaitu Maisarah untuk memantau aktiviti perdagangan yang diuruskan oleh Muhammad.


Manakala pada tahun 595M, Muhammad mengakhiri zaman bujangnya pada usia 25 tahun dengan menerima lamaran Khadijah, seorang janda yang 15 tahun lebih tua dari Muhammad. Rata-rata mengatakan Khadijah tertarik dengan reputasi dan kredibiliti Muhammad yang amat sukar dijumpai di kalangan individu yang lain. Khadijah juga merupakan waris dari keturunan Qusai sama seperti Muhammad, susur jalurnya berlangsung dari bapanya Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusai.


Semasa Bergelar Suami
Ibnu Ishaq menyatakan bahawa perkahwinan Muhammad dan Khadijah telah dikurniakan dengan tiga anak lelaki bernama Al Qasem(meninggal pada usia dua tahun), Abdullah dan Ibrahim serta empat anak perempuannya iaitu Zainab, Ruqayyah, Umm Kulthum dan Fatimah. Kesemua cahaya matanya lahir sebelum wahyu yang pertama Muhammad.


Berada dalam keluarga bangsawan dan bahagia masih belum memuaskan jiwa Muhammad. Ketika berusia 31 tahun, Muhammad mula bergiat aktif dalam pergerakan “Hiful Fhudul” bagi membantu masyarakatnya yang dilihat makin tenat sosial dan tamadun mereka. Hiful Fhudul diwujudkan ketika Muhammad berusia belasan tahun lagi, ia merupakan janji(sumpah setia) diantara Bani Hasyim, Bani Muthalib, Bani Asad bin Uzza, Bani Zuhrah bin Khilab dan Bani Tamin bin Murrah.


Nama Muhammad semakin melonjak dikalangan masyarakatnya dan diberi jolokan ‘Al Amin’(Yang Dipercayai) selepas berupaya menyelesaikan pertelingkahan perletakkan batu Hajaratul Aswad. Idea Muhammad adalah dengan meletakkan batu tersebut ditengah-tengah serbannya yang dihamparkan. Setelah itu dia meminta setiap ketua suku memegang setiap penjuru dan apabila sampai di lokasi yang ditetapkan Muhammad sendiri yang meletakkanya.


Permulaan Al Quran
Tertekan dengan keadaan masyarakatnya yang telah hilang sifat rasional dan kemanusiaan, serta kegagalan Hiful Fhudul menangani permasalahan masyarakat, menyebabkan Muhammad mula mengasingkan dirinya untuk mendapatkan ketenangan jiwa. Maka ketika mencecah usia 37 tahun Muhammad semakin kerap berulang alik ke Gua Hira’, di bukit Jabbal Nur, yang terletak lebih kurang tiga kilometer di utara kota Mekah. Sememangnya telah menjadi kebiasaan masyarakat Arab pada ketika itu, mereka akan menyendiri di dalam gua untuk bermunajat dan berpuasa bagi mendapatkan ketenangan.


Pada 6 haribulan Ogos 610M, Muhammad mendakwa menerima wahyu yang pertama dari malaikat Jibril di Gua Hira’. Dimana situasinya Muhammad disuruh oleh Jibril untuk “baca”, Muhammad bingung dan bertanya “Apa yang perlu dibaca?”, seterusnya dikatakan Muhammad dipeluk oleh Jibril untuk ditenangkan. Kebanyakkan versi menyatakan Jibril mengulangi perbuatannya sebanyak tiga kali barulah mengungkapkan seperti: A.Q S.96 A.1-5


“Bacalah dengan nama Pengaturmu(Rabb) Yang Menciptakan.
Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
Bacalah dan Pengaturmulah(Rabb) Yang Maha Pemurah.
Yang mengajar dengan perantaraan kalam.
Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.”



Perintah dari Jibril membuatkan “Nabi” Muhammad ketakutan, dalam keadaan menggigil Nabi Muhammad balik ke rumah dan terus ke kamarnya dan diselimutkan oleh Khadijah. Dalam keadaan terkejut dan takut Nabi Muhammad cuba menjelaskan perkara yang berlaku kepada isterinya.


Selepas Khadijah berupaya menenangkan Nabi Muhammad, Khadijah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Waraqah bin Naufal, sepupu Khadijah yang buta. Waraqah merupakan seorang Nasrani(Kristian) yang berupaya menterjemahkan kitab Taurat dan Injil dari bahasa Ibrani ke bahasa Arab. Mendengar penjelasan sepupunya Waraqah berkata: “Quddus, Demi Rabb yang jiwa Waraqah di dalam tangannya, jika engkau membenarkan aku ya Khadijah, sesungguhnya telah datang kepadanya ‘Namus Akbar’ sebagai pernah datang kepada Nabi Musa dan sesungguhnya akan menjadi Nabi bagi umat kita ini. Dan katakanlah kepadanya hendaklah dia tetap tenang”.


Selepas dari peristiwa itu Nabi Muhammad semakin kuat beribadah tetapi selepas tiga tahun, barulah wahyu yang seterusnya sampai kepada Nabi Muhammad.


Penyisihan(Boikot)
Apabila wahyu yang seterusnya banyak menitik beratkan mengenai penyebaran yang hak maka bertambah yakinlah Nabi Muhammad bahawa dirinya seorang Rasul. Manakala mereka yang menerima ‘ajaran baru’ Nabi Muhammad pada peringkat awalnya adalah Khadijah, seterusnya Ali bin Abi Talib(yang pada ketika itu masih kanak-kanak, seusia 10 tahun), selanjutnya rakan karibnya iaitu Abu Bakar kemudiannya anak angkatnya iaitu Zaid(yang kemudian dikenali sebagai Zaid bin Haarith)


Bermula sekitar tahun 613M atau tahun ke-3 kenabian, Nabi Muhammad mula berani menyuarakan dan menyampaikan wahyu Allah kepada penduduk Mekah, ada yang mahu menjadi pengikutnya, ada yang tidak ambil kisah dan tidak ketinggalan ada juga yang mencacinya. Pada dasarnya tiga golongan pada peringkat awal yang mahu mengikut ‘ideologi’ Nabi Muhammad, pertama golongan bangsawan yang keluarganya berpengaruh dan kaya(bilangannya tidak ramai), kedua golongan yang tidak lagi memegang sebarang jawatan di Mekah(disisihkan) dan yang ketiga golongan fakir-miskin dan hamba yang kebanyakkannya pendatang yang memerlukan perlindungan.


Kelantangan Nabi Muhammad dalam bersuara dan peningkatan pengaruhnya menyebabkan ramai golongan bangsawan tidak dapat menerimanya lebih-lebih lagi apabila Nabi Muhammad dikatakan sudah mula menghina adat resam mereka dalam upacara penyembahan berhala yang sudah berzaman didakwa menjadi penjaga Ka’bah.


Mesyuarat di ‘Darr Ad-Nadwah’ memutuskan serta melantik Amru bin Hisham sebagai wakil bagi menawarkan kepada Nabi Muhammad kekayaan, status yang lebih tinggi (diantara golongan Quraish) dan wanita untuk dijadikan hamba atau dikahwini. Penolakkan mentah-mentah tawaran yang diajukan menyebabkan golongan bangsawan Quraish mengambil keputusan drastik iaitu dengan menakut-nakutkan golongan yang telah memeluk ajaran Islam malah kebencian mereka berlanjutan hingga ada yang disiksa fizikalnya terutama golongan hamba yang masih belum merdeka.


Keinginan yang kuat untuk melihat perubahan dalam masyarakat dan hala tuju masyarakat yang jelas dan benar menjadikan pengikut Nabi Muhammad semakin ramai. Akan tetapi pertentangan yang dahsyat yang berlaku di kota Mekah membawa kepada fasa ‘hijrah’(pindah), hijrah yang pertama dilakukan oleh beberapa orang umat Islam ke Uthopia(Habsyah) yang ditadbir oleh Raja Najashi penganut ajaran Kristian.


Manakala umat Islam yang masih menetap di Mekah, semakin dipulaukan dan akhirnya dihambat ke lembah Syifa, malah sebarang urusan termasuk sosial dan ekonomi tidak dibenarkan berlangsung diantara umat Islam dan golongan yang lain(termasuk yang bersimpati) hingga umat Islam kembali kepada ajaran nenek moyang mereka, peristiwa ini berlaku pada tahun ke-7 hingga ke-9 kenabian.


Emosi Nabi Muhammad terganggu dan menerima tamparan hebat pada tahun ke-10 kenabiannya berikutan kewafatan isterinya Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib dan tahun itu dikenali sebagai “Tahun Kesedihan”. Lebih-lebih lagi kaum Quraish yang tidak menerima Islam makin berani menyakiti Nabi Muhammad kerana orang yang kuat membelanya(Abu Talib) telah tiada.


Maka, strategi diubah. Nabi Muhammad melakukan penghijrahan pertamanya iaitu ke Taif, kampung halamannya, dengan harapan ideologinya diterima oleh saudara-maranya, dan persangkaanya meleset sama sekali hingga pada akhirnya Nabi dan umat Islam pada ketika itu dihalau keluar dari Taif, dihambat serta dihina malahan oleh kanak-kanak yang mana turut membaling batu kearahnya.


Isra’ Mi’raj
Kekecewaan terhadap pandangan masyarakatnya tidak menjadi titik akhir bagi Nabi Muhammad malah semakin gigih meneruskan kerjayanya menanamkan ‘Aqidah’ pada penduduk Mekah.


Pada tahun ke-11 kerasulan(620M) berlaku sesuatu yang mengejutkan umat Islam, Nabi Muhammad mendakwa bahawa dia telah berjalan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam satu malam dan diangkat pula kelangit, melihat keadaan syurga dan neraka, serta sempat melakukan seisi dialog dengan rasul-rasul terdahulu diantaranya Ibrahim, Musa dan Isa. Ada diantara umat Islam yang mempercayai kata-kata Nabi dan ada juga yang menganggap bahawa Nabi Muhammad sudah gila. Ibnu Ishaq penulis pertama sirah Nabi Muhammad menegaskan perkara tersebut(Isra’ Mi’raj) dilakukan secara rohaniah akan tetapi pandangan sejarahwan selepas itu seperti Al-Tabari dan Ibnu Kathir menyatakan Nabi Muhammad melakukan perjalanan fizikal dengan bantuan Jibril. Pada ketika inilah perintah solat diturunkan.


Perjanjian Aqabah
Seramai 12 orang lelaki dan seorang perempuan dari bumi Yathrib pada tahun ke-12 kenabian telah hadir ke Mekah dengan niat untuk menunaikan haji dan kesempatan ini diambil oleh Nabi Muhammad untuk menjelaskan kepada mereka tetang dasar-dasar deen. Maka berlakulah perjanjian(bai’at) Aqabah I di Bukit Aqabah juga dikenali sebagai “Aqabatul Ulla”, sebagai kemuncak perjumpaan Nabi Muhammad dengan jemaah haji dari Yathrib.


Tidak terhenti ditakuk itu, berlangsung pula Perjanjian Aqabah II, dihadiri seramai 75 orang termasuk 12 pimpinan dari Yathrib. Dan Nabi Muhammad telah diundang ke Yathrib bagi menyelesaikan beberapa permasalahan mereka, ini kerana penduduk Yathrib pada ketika itu tidak lagi mempercayai di antara satu dengan yang lain, terutamanya selepas perang Bu’ath. Semasa peperangan ini dikatakan semua kaum telah mengambil bahagian, dan yang menyemarakkan lagi api peperangan adalah bangsa Yahudi(terdiri dari bani Qainuqa, bani Quraizah dan bani Nadir) yang seringkali bertukar-tukar belah pihak untuk disokong.


Iman, Hijrah, Jihad
AQ S.9 A.20 : “Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah: dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”


Tidak puas dengan ancaman dan siksaan, perintah untuk membunuh Nabi Muhammad telah dikeluarkan. Dengan bantuan para sahabat terutamanya Abu Bakar dan Ali, Nabi Muhammad berupaya menyusup keluar dari bumi Mekah menuju ke Yathrib.


Tahun 622M, Nabi Muhammad sampai di Yathrib, diantara perkara utama yang dilakukan olehnya ialah memusnahkan permusuhan diantara kaum Aws dan Khazraj yang sudah berlanjutan lebih 100 tahun, kemudian kaum ini dikenali sebagai kaum ‘Ansar’. Oleh kerana umat Islam dari Mekah(Muhajirin) telah meninggalkan harta dan keluarga mereka, maka Nabi Muhammad mengambil langkah dengan mempersaudarakan pula kaum Muhajirin dan Ansar.


Diwujudkan pula ‘Piagam Madinah’ bagi penstrukturan semula masyarakat Yathrib dan menyelesaikan segala macam masalah. Maka, sejak itu Yathrib dikenali sebagai ‘Tempat Tertegaknya Sistem Allah’ ataupun “Madinah”.

->to be continued.............

9 comments:

  1. salam ramadhan abang ittewww..

    ReplyDelete
  2. Perjalanan Hidup (NABI or SAIDINA) Muhammad s.a.w'

    ReplyDelete
  3. salam ramadhan. memang elok membaca sirah, sejarah perjuangan nabi, agar menjadi pedoman orang ramai zaman ini

    ReplyDelete
  4. semoga menjadi petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (MAHU) beriman..(12:111)

    -hny

    ReplyDelete
  5. cabang Muhammad(NABI DAN RASULNYA)bernama dan berISIM AHMAD,YASIN DLL...rujukan batu bersurat.ASIA TENGGARA

    ReplyDelete
  6. salam...

    terima kasih kerana berkongsi ilmu...

    leh refresh sirah rasulullah s.a.w...


    Iman, Hijrah, Jihad
    AQ S.9 A.20 : “Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah: dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”

    ReplyDelete
  7. kat mana dapat sumber sejarah ini...
    boleh bagi source...

    ReplyDelete