May 4, 2014

APA ADA PADA NAMA?

"Aku tak pasti kenapa kau masih boleh bersabar bila diherdik", sambil mengengsot sedikit lalu bersandar pada tiang seri mengacip cengkih, diadunkan pula dengan tembakau Harvest, digulung-gulungnya lalu dicalitkan air liur pada kertas pembalut. Perlahan-lahan dinyalakan api, bila rokok balutnya menyinggah ke bibir. Dialun-alunnya asap yang keluar menjujut dari mulutnya.

Sambil matanya tepat memandangku, "Kalau aku, mahu penumbuk hinggap ke pipi". Aku sambut dengan keluhan. Memerhati papan lantai yang kian berlubang, nampak jelas sesawang di bawah rumah.

"Semalam aku jumpa Tok Ayah, bagitahu benda yang sama, tapi Tok Ayah cuma senyum dan minta aku cari kau di sini. Katanya kau ada jawapan", aku mula berbicara memecah kesunyian malam.

"Dari mana kau dapat Ibu Gayung?". "Dari Pak Ngah Chin, lapan tahun yang lepas", jawabku seringkas yang boleh, hidungku semakin senak menghidu asap rokok cengkih. Semudah mungkin aku ringkaskan cerita, setelah dua tahun tidak bertemu. 

"Pantangnya cuma satu, penumbukku bukan untuk Melayu", aku menambah ceritaku.

"Memang bukan untuk Melayu tapi kalau namanya bangsat, itu bukan Melayu!", suara Anjang Aki mula meninggi.

Masa seakan terhenti seketika, bersulam-sulam bunyi cengkerik dengan dengusan Anjang Aki. "Ada Tok Ayah pesan apa-apa?". "Tok Ayah tak cakap apa-apa, cuma sebelum balik ada Tok Ayah minta aku mula solat balik, katanya mukaku semakin hitam".

"Ha ha ha", Anjang Aki ketawa kecil, menampakkan kerutan pada mukanya. Anjang Aki sudah semakin tua, kalau dihitung-hitung mungkin mencecah 75 tahun. "Bukan setakat muka kau saja hitam, dengan hati kau sekali hitam", ujarnya selamba. "Mana ada budak zaman sekarang boleh berani jenguk Tok Ayah, hanya orang bodoh macam kau yang masih nak ikut orang tua tu", tambah Anjang Aki lagi.

"Kalau bapak kau tahu, mesti dia cakap aku yang ajar benda-benda kurafat ini pada kau", sambil tangannya bermain-main dengan hujung kacip.

"Ah, lantaklah dia nak cakap apa, Tok Ayah tak pernah suruh aku buat benda mengarut", keras suaraku membantah. Aku semakin biasa dengan bau asap rokok cengkih. "Kalau benda ini mengarut kenapa serah pada aku dulu?", tegasku lagi.

"Siapa nama budak yang buat hal dengan kau tu?", Anjang Aki cuba menenangkan aku. "Ramzan", ujarku ringkas.

Lama Anjang Aki termenung, bersulam rokok dan air sirap bujang. Sekali sekala memandang aku sambil mendengus. 

"Kau hentikan saja jumpa Tok Ayah, orang tua tu tak tahu apa-apa, kalau kau betul nakkan jawapan, semuanya ada dalam Quran", perlahan Anjang Aki bersuara, satu persatu. Aku tahu walaupun Anjang Aki tidak bersetuju aku berjumpa dengan Tok Ayah, namun jauh di sudut hati Anjang Aki masih menghormati Tok Ayah.

"Hah, apa yang aku boleh jumpa dalam kitab buruk tu?", soalku dengan berseloroh, namun seperti tidak menjadi. Aku akui Anjang Aki sedikit berubah perwatakannya, tidak sama seperti yang aku kenal ketika sama-sama bertapa di Jeram Anak Gajah. Sekarang dengan kopiah di kepalanya, tasbih ditangannya semakin menambah raut wajah si orang tua.

"Nama, kau akan jumpa nama", sambil tangannya mula mengacip kembali bunga cengkeh. 

* 21.15am, 4 Mei 2014. ~ bersambung

"Semuanya terkait dengan nama, baik yang kau tahu atau tidak, yang kau percaya atau tidak semuanya ada nama", ujarnya lagi.

Embun jantan mula merintik, berlari dan menari di dedaun. Udara semakin sejuk hingga nafas sejuk mengalir ke kerongkong.

"Dari nama juga kau akan kenal Tuhan, dulu ya, memang aku dukun tarik, tapi sejak aku makin kenal Tuhan, aku sedar ilmu aku selama ini sia-sia, tidak ada satu pun yang berguna, semuanya sampah!", sambung Ayah Aki. Raut wajahnya aku lihat kini makin tenang, setenang embun jantan yang semakin galak membasahi bumi.

"Kenal Tuhan, kau akan kenal diri, kau juga akan kenal Melayu, dari nama baru wujud rasa percaya", ujarnya seperti seorang ahli falsafah. Anjang Aki memang sudah berubah, kalau dulu penuh dengan gelak ketawa bila bertemu. Selalu sahaja dijadikan bengok di tengkukku sebagai bahan ketawa, katanya aku seperti kodok, si kodok yang pendek.

Melihat gelagat Anjang Aki teringat aku kisah Son Of God, dengan suara yang perlahan penuh yakin Richard Bedser meyakinkan pengikutnya untuk mempercayainya, "Believe on me", begitulah riak Anjang Aki ketika ini penuh yakin mengajak aku percaya pada sesuatu yang aku sudah lama campakkan ke tepi.

* 5.54am, 10 Mei 2014. ~ bersambung lagi


No comments:

Post a Comment