Showing posts with label SALAM PUISI. Show all posts
Showing posts with label SALAM PUISI. Show all posts

Apr 12, 2014

JARI MANIS

Tunjuk pada langit

Warna putih itu kau lihat jernih
Larat menanggung, tunggu masa merebankan hujan, merebahkan awan
Warna biru itu kau lihat indah
Mendogma atmosfer yang kau sendiri tidak mengerti

Tunjuk pada langit

Satu jari pada langit, empat jari pada aku
"Hisab diri Kau dahulu", kata langit, "Sebelum kau mencemuh aku"
Santun aku menyapa; "Kita saling perlu memerlukan, kau perlu aku aku perlu kamu"
"Bukan beerti aku mahu jadi sang langit, itu kerja kamu, aku tetap aku"

Tunjuk pada langit

Mahumu apa sebenar?
Hujanmu bukan sekadar nikmat, tapi bah menenggelam umat
Petirmu bukan sekadar gamat, tapi sampai rasa tidak selamat
Namun adakala pelangi sombongmu seakan aku berada di kaki syurga

Tunjuk pada langit

Hela nafasku, seakan oksigen sampai ke kepala
Langit oh langit
Kau terlalu tinggi untuk ku capai, dan memang itu bukan maksudku
Aku di bawah ini hanya menunjukkan pada cucuku
Sana langit, siangnya adakala indah bila ada segerombolan awan bermain-main
Sana langit, siangnya adakala gerun bila guruhmu menghambur amarah setimbun
Sana langit, malamnya terkarya bintang dan bulan memikat sukma
Sana langit, malamnya gelap gelita bagai aku dalam kubur, sempit, hingga aku tidak kenal diri sendiri.

Mar 17, 2014

TAPI ITU YANG SEDANG MANUSIA AJARKAN

Akhirnya, sini juga tempat aku sakakan amarah,
Maaf dariku, ada tangan mahuku cium, ada sejadah mahuku pohon ampun,

Kata Keith anak lelaki John; 'Dasar Semuanya YAKIN'
Yakin diri,
Yakin ilmu,
Yakin jemaah,
Itu kata manusia,
Yang dirinya belum pernah berQuran,
Tak salah maka aku sarung,
Lalu keyakinan aku terbak,
Muncul bertandan-tandan keazaman,
Menghijau jati diri,
Hasilnya kau dengar, kau rasa, kau beda.

Itulah manusia,
Katanya periksa, namun semua usul tak pernah diperiksa,
Katanya adil, namun semua hukum tak pernah diadili,
Katanya, katanya, katanya, mahu aku persetankan katanya.

Kembali aku pada Keith anak lelaki John,
Menguak kembali helaian YAKIN
Yakin diri,
Yakin ilmu,
Yakin jemaah,
Bukan sebab tiada Quran,
Tapi itu yang sedang manusia ajarkan,
Quran aku sampaikan, falsafah Romawi yang didendangkan,
Maka aku lagukan falsafah Parsi dasarnya Quran.

Bertahan aku, senyum aku, baring aku,
Maka aku lihat banyak ruang dan luang,
Aku penuhi dengan impian seorang manusia.

Maafkan aku pada manusia yang bernama 'bernilai'
Kau tak ada nilai, akhlaqmu, ketamakanmu, yang bernilai hanya untuk diri kau sahaja,
Kalau bukan tubuhku dililit salsalatuliman, pasti lumat tubuhmu aku kerjakan.

Apalah salahnya kau biarkan jiwaku aman,
Aku tak kacau sesiapa, aku tak bunuh manusia,
Apalah salahnya kau biarkan jiwaku aman....




Jan 21, 2014

KAMU LAGI



Lagi-lagi kamu




Mengatakan aku tidak faham, aku akur

Mengatakan mereka tidak jelas, aku akur

Mengatakan kau sendiri baru nampak, aku akur




Lagi-lagi kamu




Merobek rasa mahu bangkitku

Meramas rasa mahu bergerak dia

Menanam rasa mahu laksana mereka

Oct 29, 2013

LAWAS UTANG


melihat diri sejernih kaca
padu, namun dilihat tembus
membangga diri sehingga alpa
haru, habis kebaikan terkambus

melihat diri seindah permata
penyeri, tinggi nilai harga
angkuh diri memakai takhta
ngeri, sanggup makan daging saudara

lupa 'aku' punya nista
tingkah 'laku' seperti kera

lupa 'kita' punya cita

maafkan
maafkan

Aug 30, 2013

AGUNG

menggonggong cinta bukan seperti mengagungkan cita

Tika hayat akan terpadam juga cinta
mampu terkaram jua cinta

Tika hayat akan terpacar juga cita
mampu terbina jua cita

cita dan cinta 
disatu makin padu 
dipisah tak mengapa
kerna cita wajar-wajar sahaja
cinta wajar-wajar sahaja





* First time kalahkan 2100 Elo, mua hahahahaha

Dec 1, 2011

SISI

Sesuai dengan diri
Lambat laun kau lupa lagi
Bahwa ada rintik dosa yang semakin membasahi
Lambat laun kau lupa lagi
Bahwa ada rintik janji yang semakin menghilang

Aug 23, 2011

BERTEMU




Waktu larat itu semakin rancak menjamah degup usia
Perlahan-lahan mengengsot jasad nista, perlahan-lahan menazakkan hakikat

Disini, seusia nyata aku berjumpa
Mengenal, berbicara, bergurau-senda
Dari titik hingga koma, dari koma hingga baris seterusnya
Namun ada peranggan yang mahukan cerita duka, perit payah,
Ada perenggan yang mahukan olahan berbisa nafsu serakah,

Mahu diundur, layarnya terbuka
Mahu ditutup layar, hatinya berbicara
"Hidup bukan selama, entah esok, entah lusa jasad bersatu lahad"

Maka, terik dipapar, panas menjadi sarapan, ribut badai menjadi ramuan
Jenuh menguis obor-obor hilang percaya
Jenuh mengikis kulat kecewa

Hingga satu saat, diam menjadi pilihan
Kerna tak tertahan dunia jadi idaman

Sabarlah sayang, jangan berhenti berjuang
Biar mengengsot, biar luka dek jatuh bangun
Nanti kita capai jua destinasi
Mungkin bukan kita yang rasa, asalkan kita yang mula......

Aug 18, 2011

Aug 8, 2011

DISINI AKU INGIN BERSUARA



Pada hakikatnya memang aku yang salah
Mencekik menjerat manusia hingga parah

Namun tak beerti kau bebas meredah bicara
Bebas merencah maki hina

Pada hakikatnya aku yang bersalah

Tapi pernah kau tanya? Kenapa dan mengapa?
Waktu aku longlai kau ada? Waktu aku hampir mampus kau ada?

Jangan kau lupa, siapa yang menghulur tangan waktu kau dalam resah, waktu kau dalam payah....

Ya, memang aku yang salah, tapi aku juga punya maruah....

..............................................................................................................................................................

(Fuh! Gi lantak la korang, poyo sangat ingat aku kebuluq sangat, huar hahahahaha, dah lah ciplak idea orang lain pastu poyo macam ko punyer idea, cam poyo.....)

pesanan penaja: banyak2kanlah bersabar....xoxoxoxo

Feb 25, 2011

KERANAMU MAMA

Sebuah Impian Itu Jujurnya Hadir Tanpa Mampu Aku Tegah

Merintik-rintik, menggulung, lalu terbungkus sebuah harapan yang dengannya aku berdiri

Terkadang longlai, terkadang mati

Ku garap lagi, ku curah dengan mata pena agar mampu aku fahami, agar mampu aku fahami

Dan impian itu makin berlegar, hingga aku mula lupa, usia ini makin meninggi,
makin membalas segala harapan agar ianya punah

Dec 27, 2010

MADU

Senak kembali menyekat, menyiksa berdengung dalam kepala
Mana pergi pohon hijau, dibuai dek angin, mana pergi?

Keras, mengeras, sekeras batu, degil, sedegil-degilnya,
Aku takkan mampu penuhi cintamu wahai manusia
Kerna, aku kini sedang mabuk asmara, mabuk mengejar cinta DIA

Kita punya impian yang terlalu besar, bagi manusia biasa ia mustahil
Namun bagi pecinta DIA, ini usaha yang nyata

Andai ke parit lagi, tetap aku teruskan jua
Kerna keyakinan ini sudah terlalu sebati, sukar untuk aku kurangi

Dec 7, 2010

1432


"Kalau pucuk diatas pasti kerna akarnya
Namun jangan lupa pada renyai hujan
Jangan lupa pada terik sang mentari
Kerna itu pilihan alam"

Maka sayang,
Andai berjaya itu maksudmu, redahilah
Namun jangan lupa pada yang bawah
Kerna itulah sahabat setia, mendokong bersama, melangkah bersama
Jangan pula kau lupa pada sang guru
Kerana tanpanya kau cuma khayalan
Melangkah dalam gelita, ketawa dalam sengsara
Bukan bertuhankan dia, tapi angkat ilmunya
Maka sayang jangan kau lupa pula pada yang mengata
Kerna halangan dan kaca itu buat kita semakin dewasa
Kerna duri dan hina itu buat kita semakin memahami
Semua ini pilihan alami.............


Nov 17, 2010

Yəhōwāh

Tuhan bukan di sana
Mengumpil dalam jiwa manusia
Kerana itu berlonggok dosa
Menggonggong kalimat nista

Tuhan bukan lagi di sana
Bertahta dalam jiwa manusia
Kerna itu noda menjadi santapan
Seakan sudah tiada harapan

Tuhan bukan, bukan tuhan kerna tiada di sana
Kerna itu pandangannya kerana manusia
Mimpinya kerana manusia
Juangnya kerna manusia

JIWA-JIWA rosak kerana JIWA

dengar kata sosok itu sudah dipunya
oleh si gila catur yang sangat geliga
tinggalkan aku seorang menganga
menghambat derita melekat dijiwa
jiwa-jiwa yang rosak kerna jiwa
dicanai bagaimana tetap begini juga

~bersambung~

Aug 1, 2010

SEKALI PANDANG

Aku toleh ke kanan, dia juga benar
Aku toleh ke kiri, dia juga benar
Aku dongak ke atas, dia juga benar
Aku pandang ke bawah, dia juga benar

Lalu aku helakan nafas,
Mencari damai
Ku pejam kan mata,
Mencari damai

Dan ku temui jawapan...

Dari jawapan itu aku berkarya
Membelah lautan manusia
Menanam erti keyakinan
Mengajar erti cinta

Hingga detik hitam itu muncul
Kepura-puraan berakhir

Jawapan itu sebenarnya salah dan yang paling salah

Namun dek kerana pekasam sudah sampai ke lengan
Dek mandi sudah habis basah
Maka lari tetap lari,
Hampir-hampir sahaja aku longlai
Menghimpap diri sendiri

Diberikan aku seurat benang
Diajar berpaut walaupun bukan senang

Dan semudah sesaat, ia sudah sebati
Lalu aku berkarya lagi
Bukan mengharap simpati diri
Dan bukan untuk dipuji

TAPI, hari ini jawapan itu kembali menyesakkan aku
Masih lagi kerna seurat benang
Kali ini bukan untuk dipegang
Tetapi untuk diteliti lagi
Mana merah mana yang putih

Apr 8, 2010

LILITH

Khabarnya kau yang empunya cinta Adam
Tapi Hawa akhirnya mampu menyambut cintanya
Maka hasad mengubah jasad, lantas keangkuhanmu melahirkan anak-anak syaitan
Hingga kecantikanmu tidak mampu menutup kejelekan dirimu
Dalam dirimu cuma satu
Kemahuan melebihi segalanya, namun kau lupa
Cinta tak perlu dipaksa
Kerna ianya hadir dengan rela,

Adam yang palsu cintanya,
Kau takkan mengerti sampai bila-bila
Kerna bagi dia ada yang lebih penting darimu dari dirinya sendiri
Lebih penting dari Hawa
Dan kau sendiri tahu

Lilith...... masa masih ada,
Untuk kita sama-sama menyembah Dia
Memang sukar untuk kita lupa sejarah lama,
Kerna sejarah mencorak diri
Tapi apalah kita
Cuma hamba
Maka tepis egomu, benam amarahmu, campak jauh hasad dengkimu
Cinta tidak semestinya bersatu, namun akhirnya kau akan fahami,
Langkah kita cuma satu.......

Mar 11, 2010

PUISI LAGI

Puisi lagi
Kerana itu yang paling mudah untuk aku nyatakan
Itu yang paling mudah untuk aku bahasakan
Karangan yang panjang perlu isi yang bernas
Perenggan berjela merimaskan dan aku malas
Warg warg warg!
Tapi berpuisi itu indah dan mudah
Indah jika kau temui isi dalam bahasa
Mudah jika kau temui diri dalam isinya


Puisi lagi
Kerana itu yang paling mudah untuk aku nyatakan
Yang pergi biarkan, kenangan? Ceh! persetankan
Berbungkam dek mencari penyelesaian, aku terkadang temui
Namun mereka bagai buta tuli lebih tuli dari anak badak
Seakan tidak memahami, erti cinta Illahi
Cinta, perlukan pengorbanan


Puisi lagi
Kerana itu yang paling mudah untuk aku nyatakan
Apa yang sebenar hanya aku yang tahu
Yang lain cuma menduga apa yang aku bicarakan
Remeh atau lurus
Hitam atau pahit
Nyahkan saja
Hidup ini tidak lama maka jadikan ia bermakna
Bermakna dari kata
Bermakna hingga terkesan jiwa dek usaha nyata


Puisi lagi
Kerana itu yang paling mudah buat aku.....

Mar 9, 2010

BUTA JALAN JANGAN TERBANG

Mana kau pergi?
Aku ada kat sini..
Tapi seakan menghilang, kemana?
Jasadnya di sini, tapi jiwanya ke atas.
Gila! Mana kau pergi?
Aku di sini, benar, seperti biasa.
Cukuplah, kau hilang, hilang dari kehidupan manusia, ke mana?
Aku memang kat sini, tak pernah hilang, cuma kau tak nampak aku bersama melepak di kedai kopi, kau takkan nampak aku berlonggok sana sini.
Habis mana kau pergi? Cari apa?
Tiada apa yang aku cari, kerana petunjuknya sudah pasti, aku pergi melaksanakan apa yang aku sudah temui, dan ianya pasti.......

Feb 28, 2010

KIRA-KIRA

Berapa kali dalam diri? Benar-benar mencintai Tuhan.
Sekarang aku sedar, berapa kali.
Kali pertama, ketika aku mula mengenal erti indahnya senyuman.
Kali kedua, ketika aku mengenali erti cinta,
Kali ketiga ketika cinta itu hilang,
Namun hingga kini baru sebenarnya aku sedar,
Pertama, diri berdosa masih Tuhan benarkan aku hidup,
Kedua, diri derhaka masih Tuhan benarkan aku makan,
Ketiga, diri mengkhianati masih Tuhan benarkan aku bertaubat,

Erti cinta pada Tuhan,

Jan 29, 2010

TABLIGH

Kita membesar dalam pelbagai masa,
Walau di tempat yang sama,
Muka aku dan kamu mungkin berbeza,
Namun aku harapkan kepala kita sama,
Punya impian yang serupa,
Di kala impian menjadi kenyataan di situ ada pelajaran,
Di situ jua kita akan belajar bertatih bersama,