May 4, 2014

APA ADA PADA NAMA?

"Aku tak pasti kenapa kau masih boleh bersabar bila diherdik", sambil mengengsot sedikit lalu bersandar pada tiang seri mengacip cengkih, diadunkan pula dengan tembakau Harvest, digulung-gulungnya lalu dicalitkan air liur pada kertas pembalut. Perlahan-lahan dinyalakan api, bila rokok balutnya menyinggah ke bibir. Dialun-alunnya asap yang keluar menjujut dari mulutnya.

Sambil matanya tepat memandangku, "Kalau aku, mahu penumbuk hinggap ke pipi". Aku sambut dengan keluhan. Memerhati papan lantai yang kian berlubang, nampak jelas sesawang di bawah rumah.

"Semalam aku jumpa Tok Ayah, bagitahu benda yang sama, tapi Tok Ayah cuma senyum dan minta aku cari kau di sini. Katanya kau ada jawapan", aku mula berbicara memecah kesunyian malam.

"Dari mana kau dapat Ibu Gayung?". "Dari Pak Ngah Chin, lapan tahun yang lepas", jawabku seringkas yang boleh, hidungku semakin senak menghidu asap rokok cengkih. Semudah mungkin aku ringkaskan cerita, setelah dua tahun tidak bertemu. 

"Pantangnya cuma satu, penumbukku bukan untuk Melayu", aku menambah ceritaku.

"Memang bukan untuk Melayu tapi kalau namanya bangsat, itu bukan Melayu!", suara Anjang Aki mula meninggi.

Masa seakan terhenti seketika, bersulam-sulam bunyi cengkerik dengan dengusan Anjang Aki. "Ada Tok Ayah pesan apa-apa?". "Tok Ayah tak cakap apa-apa, cuma sebelum balik ada Tok Ayah minta aku mula solat balik, katanya mukaku semakin hitam".

"Ha ha ha", Anjang Aki ketawa kecil, menampakkan kerutan pada mukanya. Anjang Aki sudah semakin tua, kalau dihitung-hitung mungkin mencecah 75 tahun. "Bukan setakat muka kau saja hitam, dengan hati kau sekali hitam", ujarnya selamba. "Mana ada budak zaman sekarang boleh berani jenguk Tok Ayah, hanya orang bodoh macam kau yang masih nak ikut orang tua tu", tambah Anjang Aki lagi.

"Kalau bapak kau tahu, mesti dia cakap aku yang ajar benda-benda kurafat ini pada kau", sambil tangannya bermain-main dengan hujung kacip.

"Ah, lantaklah dia nak cakap apa, Tok Ayah tak pernah suruh aku buat benda mengarut", keras suaraku membantah. Aku semakin biasa dengan bau asap rokok cengkih. "Kalau benda ini mengarut kenapa serah pada aku dulu?", tegasku lagi.

"Siapa nama budak yang buat hal dengan kau tu?", Anjang Aki cuba menenangkan aku. "Ramzan", ujarku ringkas.

Lama Anjang Aki termenung, bersulam rokok dan air sirap bujang. Sekali sekala memandang aku sambil mendengus. 

"Kau hentikan saja jumpa Tok Ayah, orang tua tu tak tahu apa-apa, kalau kau betul nakkan jawapan, semuanya ada dalam Quran", perlahan Anjang Aki bersuara, satu persatu. Aku tahu walaupun Anjang Aki tidak bersetuju aku berjumpa dengan Tok Ayah, namun jauh di sudut hati Anjang Aki masih menghormati Tok Ayah.

"Hah, apa yang aku boleh jumpa dalam kitab buruk tu?", soalku dengan berseloroh, namun seperti tidak menjadi. Aku akui Anjang Aki sedikit berubah perwatakannya, tidak sama seperti yang aku kenal ketika sama-sama bertapa di Jeram Anak Gajah. Sekarang dengan kopiah di kepalanya, tasbih ditangannya semakin menambah raut wajah si orang tua.

"Nama, kau akan jumpa nama", sambil tangannya mula mengacip kembali bunga cengkeh. 

* 21.15am, 4 Mei 2014. ~ bersambung

"Semuanya terkait dengan nama, baik yang kau tahu atau tidak, yang kau percaya atau tidak semuanya ada nama", ujarnya lagi.

Embun jantan mula merintik, berlari dan menari di dedaun. Udara semakin sejuk hingga nafas sejuk mengalir ke kerongkong.

"Dari nama juga kau akan kenal Tuhan, dulu ya, memang aku dukun tarik, tapi sejak aku makin kenal Tuhan, aku sedar ilmu aku selama ini sia-sia, tidak ada satu pun yang berguna, semuanya sampah!", sambung Ayah Aki. Raut wajahnya aku lihat kini makin tenang, setenang embun jantan yang semakin galak membasahi bumi.

"Kenal Tuhan, kau akan kenal diri, kau juga akan kenal Melayu, dari nama baru wujud rasa percaya", ujarnya seperti seorang ahli falsafah. Anjang Aki memang sudah berubah, kalau dulu penuh dengan gelak ketawa bila bertemu. Selalu sahaja dijadikan bengok di tengkukku sebagai bahan ketawa, katanya aku seperti kodok, si kodok yang pendek.

Melihat gelagat Anjang Aki teringat aku kisah Son Of God, dengan suara yang perlahan penuh yakin Richard Bedser meyakinkan pengikutnya untuk mempercayainya, "Believe on me", begitulah riak Anjang Aki ketika ini penuh yakin mengajak aku percaya pada sesuatu yang aku sudah lama campakkan ke tepi.

* 5.54am, 10 Mei 2014. ~ bersambung lagi


Apr 12, 2014

JARI MANIS

Tunjuk pada langit

Warna putih itu kau lihat jernih
Larat menanggung, tunggu masa merebankan hujan, merebahkan awan
Warna biru itu kau lihat indah
Mendogma atmosfer yang kau sendiri tidak mengerti

Tunjuk pada langit

Satu jari pada langit, empat jari pada aku
"Hisab diri Kau dahulu", kata langit, "Sebelum kau mencemuh aku"
Santun aku menyapa; "Kita saling perlu memerlukan, kau perlu aku aku perlu kamu"
"Bukan beerti aku mahu jadi sang langit, itu kerja kamu, aku tetap aku"

Tunjuk pada langit

Mahumu apa sebenar?
Hujanmu bukan sekadar nikmat, tapi bah menenggelam umat
Petirmu bukan sekadar gamat, tapi sampai rasa tidak selamat
Namun adakala pelangi sombongmu seakan aku berada di kaki syurga

Tunjuk pada langit

Hela nafasku, seakan oksigen sampai ke kepala
Langit oh langit
Kau terlalu tinggi untuk ku capai, dan memang itu bukan maksudku
Aku di bawah ini hanya menunjukkan pada cucuku
Sana langit, siangnya adakala indah bila ada segerombolan awan bermain-main
Sana langit, siangnya adakala gerun bila guruhmu menghambur amarah setimbun
Sana langit, malamnya terkarya bintang dan bulan memikat sukma
Sana langit, malamnya gelap gelita bagai aku dalam kubur, sempit, hingga aku tidak kenal diri sendiri.

Apr 3, 2014

ANALOGI ADAM DAN IBLIS

Turunnya Al-Quran dalam era masyarakat yang kaya dan cintakan puisi, maka ayat-ayatnya amat dalam dan punya makna yang tersurat dan tersirat. Maka aku ungkapkan analogi antara Adam dan Iblis bagi tujuan rujukan diriku sendiri, tidak ada kena mengena dengan kamu yang hidup dan yang mati.

Allah hanya mampu berbicara langsung dengan para Rasul, malah ramai RasulNya mendapat wahyu melalui perantaraanNya iaitu Jibril. Di antara wahyu Allah ialah Al-Quran aka Kalamullah yang tidak lain dan tidak bukan mengajar manusia hidup bersistem yang benar(jika dibuat SWOT analisis berdasarkan sistem-sistem yang ada maka sistem Islam walaupun ramai yang tidak mahu terima pakai, tetap sistem yang terbaik di atas sistem-sistem yang lain). Hidup bersistem, berRukun perlukan beberapa unsur antaranya unsur aturan, unsur tempat dan unsur pelaku. 


Analogi Adam dan Iblis lebih kepada unsur pelaku. Di sini Allah secara terangan menampakkan dua kategori kepimpinan, satu kepimpinan yang dasarnya dari api dan satu kepimpinan yang dasarnya dari sari pati tanah. 
Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah".
 Al-A'raf; Ayat 12

Iblis: Diciptakan Dari Api

1. Sifat api yang membara-bara apatah lagi jika ditambah dengan minyak semakin maraklah api itu, kepimpinan yang selalu mengobarkan semangat, menaikkan semangat juang, mengapi-apikan emosi pengikutnya.

2. Punya bakat kepimpinan semulajadi(born leader), cepat membuat keputusan dan percaya diri yang tinggi.

3. Motivator yang baik dan mampu mewujudkan idea-idea yang bagus(genius) dan lebih agresif.

4. Menyukai perkara yang baru, inovasi dan mampu mendominasi orang lain dengan idea yang kreatif serta mampu menanggung risiko.

5. Sifat 'powerful choleric' yang tinggi, ego, suka menjadi pemenang utama, dan suka mendengar pandangan orang lain asalkan selepas itu tetap mengikut telunjuknya, serta bersikap impulsif.

6. Terlalu berani mengeluarkan pendapat. Mampu menarik orang lain melaksanakan visi dan misinya, suka bersemangat dalam mengejar cita-citanya sehinggakan hasilnya seringkali 'asal sudah'.

7. Seringkali berusaha mewujudkan keinginannya dengan kekuatan dan kekerasan, beranggapan yang tidak sependapat adalah sang lawan dan sering menghadapi kesulitan.

8. Sikap selalu semberono menyebabkan kerosakkan yang masif bila gagal dikawal dan mengarahkan energi dengan tepat.

9. Iblis hanya mampu berstatuskan ketua para malaikat, hanya mampu menundukkan makhluk yang sudah sedia tunduk(mukmin) pada perintah Allah. Namun untuk merahmatkan alam jika masih mengekalkan unsur api maka tidak layak.

10. Jika dalam ajaran Kitab Perjanjian Lama, iblis yang menghasut Adam merupakan 'Lilith' isteri Adam yang pertama juga digelar Iblis Betina. Maka iblis juga tinggi emosinya, amarah, sifat tamak yang tinggi, dan cemburu yang teramat kuat.

11. Kesimpulan Analogi Kepimpinan Iblis; Kepimpinan Iblis boleh ada dalam jiwa mana-mana manusia, juga dalam jiwa pemimpin sesebuah negara. Pemimpin yang keras, hanya mengejar cita-cita sehingga mengenepikan hak individu yang dipimpinnya. Kepimpinan seperti ini tidak menghasilkan pemimpin, tapi hanya menghasilkan pengikut, malah pengikut yang tidak bersifat universal sekadar dalam tempurung kelapa yang disorok dalam gobok lama. Pemimpin yang boleh menjadi diktator walaupun Islamik namun pengikutnya sekadar 'yes man' dan 'robotiklisme', pengikut yang tidak mampu melawan pendapat, pak turut dan hamba abdi tanpa sedar.

Adam: Diciptakan Dari Saripati Tanah.

1. Unsur tanah lebih memperhatikan tujuan-tujuan yang praktikal daripada mengejar impian dan sasaran, lebih melihat 'detail' proses dari menginginkan hasil kerana dia sedar, hasil hadir dari proses yang lancar, efektif dan efisyen.

2. Mempunyai pemikiran yang luar biasa dan lebih suka pada satu tujuan yang nyata, jelas serta mampu capai.

3. Dengan visi yang jelas serta kemampuan untuk mengorganisasi, unsur tanah adalah perencana dan pengelola yang efektif.

4. Unsur tanah akan menggunakan segala potensi yang mereka temukan secara optimal dan cenderung bijaksana dan teliti dalam masalah.

5. Unsur tanah cerdas dan objektif dalam memimpin orang lain untuk mewujudkan tujuan yang telah direncanakan dengan matang, maka yang dihasilkan bukan sekadar pengikut tetapi bakal pemimpin.

6. Pada umumnya unsur tanah adalah orang-orang yang serius dan metodis dalam cara kerja dan dapat mengorganisasi dan menjalankan segala jenis pengurusan yang menuntut pengelolaan yang tegas. 


7. Unsur tanah dapat dipercayai untuk memikul tanggungjawab secara mengagumkan, dan dapat mendisiplinkan diri sendiri secara efektif, serta bertanggungjawab terhadap pendapatnya dan memiliki alasan-alasan bagi segala hal yang mereka lakukan.

8. Meskipun tindakannya perlahan, namun biasanya mencapai hasil yang memuaskan dan bertahan lama, kebiasaannya konservatif dan berhati-hati. 


9. Apatah lagi Adam diajarkan 'nama-nama itu semuanya' oleh Allah dan hanya Allah yang punya nama-nama yang terbaik, beerti Adam dengan sifat unsur tanahnya juga dasarnya pendidikan kerana hanya dengan pendidikan(air) akan menyuburkan dan membuahkan hasil.

10. Tanah tempat diinjak-injak dan seringkali diludah, beerti kepimpinan unsur tanah mereka yang seringkali menerima cemuhan dan menerima penghinaan, janji boleh terus mengabdikan pada yang sedar atau tidak sedar, bukan sekadar dipuja-puja dan menghangatkan suasana tetapi 'berpijak juga pada bumi yang nyata', realistik bukan fantasi.

11.Kesimpulan Analogi Kepimpinan Adam; samaada kepimpinan Iblis(Teori X) atau kepimpinan Adam(Teori Y) atau gabungan keduanya(Teori Z), dunia kehausan pemimpin yang berunsur tanah yang dasarnya pendidikan(Teori Allah). Ramai pemimpin yang neutral(penebat elektrik) namun belum ada lagi kelihatannya pada 2014 ini Kepimpinan Adam. Hanya corak kepimpinan ini yang mampu menjadi 'khalifah' di muka bumi, bukan sekadar Khalifah Islamik Lokal, namun sehingga mampu merahmatkan alam. Maka bagi pucuk pimpinan, pengurusan negara yang dikasihi dalamilah Kepimpinan Adam, bukan sekadar mahukan pengikut yang taat tapi mencipta jutaan pemimpin pewaris masa hadapan. Wallahualam bissawab.



Mar 17, 2014

TAPI ITU YANG SEDANG MANUSIA AJARKAN

Akhirnya, sini juga tempat aku sakakan amarah,
Maaf dariku, ada tangan mahuku cium, ada sejadah mahuku pohon ampun,

Kata Keith anak lelaki John; 'Dasar Semuanya YAKIN'
Yakin diri,
Yakin ilmu,
Yakin jemaah,
Itu kata manusia,
Yang dirinya belum pernah berQuran,
Tak salah maka aku sarung,
Lalu keyakinan aku terbak,
Muncul bertandan-tandan keazaman,
Menghijau jati diri,
Hasilnya kau dengar, kau rasa, kau beda.

Itulah manusia,
Katanya periksa, namun semua usul tak pernah diperiksa,
Katanya adil, namun semua hukum tak pernah diadili,
Katanya, katanya, katanya, mahu aku persetankan katanya.

Kembali aku pada Keith anak lelaki John,
Menguak kembali helaian YAKIN
Yakin diri,
Yakin ilmu,
Yakin jemaah,
Bukan sebab tiada Quran,
Tapi itu yang sedang manusia ajarkan,
Quran aku sampaikan, falsafah Romawi yang didendangkan,
Maka aku lagukan falsafah Parsi dasarnya Quran.

Bertahan aku, senyum aku, baring aku,
Maka aku lihat banyak ruang dan luang,
Aku penuhi dengan impian seorang manusia.

Maafkan aku pada manusia yang bernama 'bernilai'
Kau tak ada nilai, akhlaqmu, ketamakanmu, yang bernilai hanya untuk diri kau sahaja,
Kalau bukan tubuhku dililit salsalatuliman, pasti lumat tubuhmu aku kerjakan.

Apalah salahnya kau biarkan jiwaku aman,
Aku tak kacau sesiapa, aku tak bunuh manusia,
Apalah salahnya kau biarkan jiwaku aman....




Jan 21, 2014

KAMU LAGI



Lagi-lagi kamu




Mengatakan aku tidak faham, aku akur

Mengatakan mereka tidak jelas, aku akur

Mengatakan kau sendiri baru nampak, aku akur




Lagi-lagi kamu




Merobek rasa mahu bangkitku

Meramas rasa mahu bergerak dia

Menanam rasa mahu laksana mereka